SIS forum: Fatwa tidak terpakai kepada pertubuhan atau syarikat

4 hours ago 2

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014 iaitu ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalism dan pluralism agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’ adalah sah.

Bagaimanapun, panel empat hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, fatwa itu tidak terpakai kepada Sisters In Islam (Sis) Forum (Malaysia) sebagai sebuah pertubuhan atau syarikat.

Ketika membacakan keputusan itu, Tengku Maimun berkata, mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman
liberalism dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam perlu bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

“Tidak timbul juga soal sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi tidak patut dibiarkan tanpa bertanggungjawab atas perbuatan-perbuatan yang melanggar fatwa itu.

“Kebertanggungjawaban atas apa-apa pelanggaran fatwa itu adalah sedia terletak di bahu individu-individu yang menggerakkan syarikat, pertubuhan atau institusi itu,” katanya.

Penghakiman lanjut turut menyatakan sesebuah syarikat tidak boleh ‘menganut’ agama Islam untuk ia diklasifikasikan secara sah sebagai ‘orang-orang yang menganut agama Islam’.

Dalam keputusan majoriti 3-1 itu, tiga lagi hakim yang turut bersidang adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada 27 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam Undang-Undang Syariah.

Selain itu, Hakim itu juga menyatakan isu fatwa mempunyai kaitan dengan Undang-Undang Syariah dan terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Kemudian pada 14 Mac 2023, Mah­kamah Rayuan dalam keputusan 2-1 menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fat­wa tersebut.

Dalam penghakiman majoriti oleh Hakim-ha­kim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menyatakan tiada sebarang kekhilafan yang dibuat Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membolehkan Mah­ka­mah Rayuan campur ta­ngan.

Sementara itu, penghakiman menentang oleh Hakim Datuk M. Gunalan menya­takan Hakim Mahkamah Tinggi terkhi­laf apabila gagal memberikan pertimbangan kehakiman bahawa res­ponden pertama (Jawatankuasa Fatwa) bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Terdahulu pada 2014, Ja­wa­tan­kuasa Fatwa Negeri Selangor mengeluarkan fatwa terhadap SIS Forum dengan menyatakan kumpulan itu mengamalkan ideologi liberalis­me dan plura­lisme, bertentangan dengan ajaran Islam. Fatwa itu diwartakan pada 31 Julai tahun sama.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum, pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa tersebut.

Mereka antara lain memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa dan MAIS yang menyatakan bahawa pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Selain itu, mereka turut memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai ‘company limited by guarantee’ tidak tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |