SHAH ALAM – Sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan esok berhubung rayuan Pertubuhan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) mencabar keabsahan fatwa akan memberikan impak kepada fatwa secara keseluruhannya di negara ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, fatwa itu adalah satu keputusan yang telah dibuat Jawatankuasa Fatwa selepas mengkaji pelbagai aspek demi kemasalahatan umat Islam.
Justeru, pihaknya berharap keputusan tersebut akan memihak kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, MAIS dan kerajaan Selangor.
“Kita tahu bahawa isu berkaitan SIS Forum ini adalah isu yang besar yang mana keputusan fatwa negeri Selangor telah dicabar pertubuhan itu. Fatwa menyatakan SIS forum tidak menepati atau mengikuti ajaran Islam sebenar.
“Sekiranya tidak memihak kepada kita akan membolehkan mereka mencabar apa sahaja fatwa selepas ini dan implikasinya sangat besar,” katanya ketika ditemui pemberita melancarkan Program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar kurang berkemampuan di sini, hari ini.
Jelas beliau, kesan keputusan di Mahkamah Persekutuan juga boleh mengelakkan masyarakat Islam terkeliru dengan fatwa yang dikeluarkan para ulama dan pakar-pakar Islam telah dicabar begitu sahaja.
Tegasnya, Jawatankuasa Fatwa tidak akan mengeluarkan sesuatu fatwa atau fahaman bagi memuaskan hati pihak tertentu sebaliknya selepas memikirkan kepada kemasalahatan umat Islam keseluruhannya.
“Sudah tentu akan berikan impak kepada negeri lain juga (keputusan rayuan itu) sebab SIS Forum bukan hanya bergerak aktif di Selangor tetapi di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain,” katanya.
Untuk rekod, SIS Forum telah membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keabsahan fatwa dikeluarkan kerajaan Selangor yang telah diwartakan pada 17 Julai 2014.
Kes rayuan itu akan diputuskan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya dekat sini esok.
Berdasarkan fatwa itu, mengisytiharkan SIS sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.
SIS sebelum ini gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi pada 2020 dan Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2023 dalam mencabar fatwa itu. – KOSMO! ONLINE