TEHRAN – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan bahawa negara itu mempunyai hak untuk mempertahankan kedaulatan, kepentingan dan rakyatnya selepas Amerika Syarikat (AS) menyertai Israel dalam konflik tersebut dengan menyerang tiga tapak nuklear Tehran.
Araghchi menyelar serangan Washington dan menggelarnya sebagai ‘tidak mengikut undang-undang’ dan ‘penjenayah’.
“Peristiwa pagi ini (semalam) adalah keterlaluan dan akan mempunyai akibat yang kekal,” tulisnya di platform X.
“Iran mempunyai semua pilihan untuk mempertahankan kedaulatan, kepentingan dan rakyatnya,” tambah beliau.
Presiden AS, Donald Trump sebelum itu mengumumkan bahawa tentera Washington telah melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear Iran, termasuk kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordow.
“Kami telah menyelesaikan serangan ‘yang sangat berjaya’ ke atas tiga tapak nuklear di Iran, termasuk Fordow, Natanz dan Isfahan,” kata Trump dalam catatan di platform Truth Social.
“Muatan penuh BOM telah dijatuhkan di tapak utama, Fordow,” katanya sambil menambah bahawa pesawat itu selamat keluar dari ruang udara Iran dan dalam perjalanan pulang.
Beberapa jam kemudian, Trump dalam ucapan beliau dari White House yang disiarkan di kaca televisyen berkata, serangan udara AS awal semalam memusnahkan sepenuhnya tapak nuklear utama Iran.
Beliau turut memberi amaran bahawa AS akan melancarkan lebih banyak serangan sekiranya Iran tidak berundur dengan cepat.
“Kemudahan pengayaan nuklear utama Iran telah dilenyapkan sepenuhnya. Iran kini mesti berdamai,” kata Trump.
Serangan ke atas tapak nuklear Iran dilakukan oleh pengebom halimunan B-2 bersama-sama peluru berpandu kruz Tomahawk yang dilancarkan dari kapal selam, lapor media AS.
Tidak lama selepas itu, siren berbunyi di Tel Aviv dan letupan kedengaran dari Baitulmuqaddis ketika saluran televisyen Iran mengumumkan bahawa 30 peluru berpandu dilancarkan.
Sekurang-kurangnya 16 orang cedera dan sekurang-kurangnya satu kesan dilaporkan di tengah Israel selepas Iran melancarkan dua gelombang peluru berpandu.
Stesen penyiaran awam, KAN 11 menyiarkan imej bangunan musnah dikelilingi timbunan runtuhan yang dikatakan berada di tengah Israel, berikutan serangan yang bermula sekitar pukul 7.30 pagi (waktu tempatan).
“Sasaran itu termasuk lapangan terbang (Ben Gurion), pusat penyelidikan biologi, pangkalan logistik dan pelbagai lapisan pusat arahan dan kawalan,” kata Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Fars.
Dalam pada itu, Tehran berkata, tiada tanda-tanda pencemaran selepas serangan AS, manakala pengawal selia Arab Saudi mengumumkan bahawa tiada kesan radioaktif dikesan di rantau Teluk.
“Organisasi Tenaga Atom Iran memberi jaminan bahawa walaupun konspirasi jahat musuh-musuh, dengan usaha beribu-ribu saintis dan pakar, ia tidak akan membenarkan laluan pembangunan industri nasional (nuklear) ini dihentikan,” katanya.
Penasihat kepada Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, Iran telah menjangkakan serangan AS ke atas kemudahan pengayaan uranium Fordow semalam, lapor saluran berita Al Jazeera.
“Tapak itu telah lama dipindahkan dan tidak mengalami sebarang kerosakan yang tidak dapat dipulihkan dalam serangan tersebut,” tulis Mahdi Mohammadi dalam catatan di laman sosial. – AFP/AGENSI