Seorang maut, 5 cedera Perodua Aruz terbabas masuk gaung

10 hours ago 5

TAPAH – Seorang lelaki berumur 44 tahun meninggal dunia selepas kereta Perodua Aruz yang dipandunya gagal dikawal sebelum terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter dalam nahas di Batu 21, Jalan Tapah-Cameron Highlands, Jalan Pahang di Tapah pada pukul 8.43 malam semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, terdapat enam orang mangsa dan setibanya jentera bomba di lokasi kejadian didapati kereta tersebut telah dalam keadaan terbalik.

“Mangsa yang meninggal dunia ialah seorang lelaki berumur 48 tahun sementara yang cedera pula seorang wanita berumur 48 tahun, dua remaja perempuan masing-masing berumur 19 dan 17 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun.

“Kelima-lima mangsa yang cedera telah dikeluarkan orang awam dan dikejarkan ke hospital terdekat menggunakan ambulans sementara pemandu telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai kesihatan dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Abdul Malik Hasim menegaskan kemalangan tersebut tidak membabitkan sebarang unsur pelanggaran dengan kenderaan lain selepas tular sebuah klip video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) menunjukkan Perodua Aruz dinaiki mangsa telah terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori dari arah bertentangan semasa melalui jalan berselekoh tajam dan sempit di kawasan berbukit.

Katanya, siasatan awal mendapati, semasa kejadian seorang pemandu lori dalam perjalanan dari Ringlet ke Ipoh untuk menghantar sayur-sayur ke pasar sementara mangsa bersama isteri dan empat orang anak dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanah Rata, Cameron Highlands bertujuan menziarahi ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa (pemandu Perodua Aruz) telah maut di tempat kejadian sementara kesemua mangsa-mangsa lain yang cedera telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |