Semakan kehakiman keluarga Altantuya didengar 6 Oktober

10 hours ago 9

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 6 Oktober ini bagi pendengaran permohonan semakan kehakiman keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu berhubung afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas pegawai polis yang terlibat dalam pembunuhan model Mongolia itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Sangeet Kaur yang mewakili bapa model itu, Dr. Shaariibuu Setev ketika dihubungi media hari ini.

“Kes akan didengar oleh Hakim Norliza Othman pada pukul 10 pagi,” kata peguam itu.

Dalam prosiding hari ini kesemua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Muhairi Mohamed Noh.

Pada 16 Oktober 2025, Hakim Datuk Aliza Sulaiman (kini hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan Shaariibuu memulakan prosiding semakan kehakiman selepas mahkamah diberitahu bahawa Peguam Negara tidak membantah permohonan itu.

Dalam permohonan semakan kehakiman terbabit, Shaariibuu menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Shaariibuu memohon perisytiharan, keputusan kesemua responden yang tidak memaklumkan kepadanya status siasatan terkini dijalankan pada 2019 oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman terhadap kandungan afidavit tambahan dan akuan bersumpah diikrarkan bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri, bertentangan dengan undang-undang.

Afidavit tambahan bertarikh 24 September 2024 dan akuan bersumpah bertarikh 17 Oktober 2019 itu digunakan oleh bekas pegawai polis itu bagi menyokong permohonan semakan hukuman mati terhadapnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2024.

Kedua-dua dokumen antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa dia mendapat arahan daripada ‘pihak atasan’ untuk menjalankan ‘operasi sulit’ bagi ‘membunuh dan menghapuskan si mati’.

Shaariibuu selaku pemohon berkata sekiranya siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah itu masih berjalan, beliau memohon perintah mandamus supaya siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah.

Turut dimohon, perintah mandamus supaya kesemua responden memaklumkan secara terperinci status terkini siasatan yang dijalankan oleh responden kedua (Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman) terhadap kandungan kedua-dua dokumen dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.

Shaariibuu juga berkata, jika kesemua responden memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut,’ beliau mahukan alasan mengapa tindakan itu diambil.

Pada 10 Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadap Azilah dengan pemenjaraan selama 40 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh Altantuya selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkannya. oleh bekas pegawai itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |