KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan beberapa rakyat Malaysia dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan senjata api melalui pintu sempadan negara.
Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, perkara itu diperoleh susulan hasil mesyuarat yang diadakan bersama polis Thailand baru-baru ini.
“Kalau ikut maklumat dari polis Thailand, tangkapan seorang iaitu yang membawa senjata. Yang lain-lain ada cuma tangkapan belum berlaku.
“(Suspek) dipercayai dah masuk Malaysia dan saya difahamkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Cawangan Khas, Bukit Aman berusaha ke arah itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Ujian Rentas Halangan KDNKA di Markad Briged Tengah PGA, Cheras, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Suzrin berkata, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengesan sebarang ancaman termasuk penyeludupan senjata api.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha mempertingkatkan keselamatan sempadan sama ada sepanjang laluan dan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) selain memperketatkan sekatan,” ujarnya.
Sebelum ini, polis menyiasat lanjut sama ada rakyat Malaysia yang ditahan bersama dua laras M16 dan 450 butir peluru di Pekan Danok, Thailand, bulan lalu berperanan sebagai transporter atau ahli kepada rangkaian jenayah lebih besar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan dakwaan senjata berkenaan diseludup masuk untuk kegunaan sindiket dadah.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pukul 5.35 petang di sekatan jalan raya oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao pada 29 Ogos lalu.
Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia menemukan dua laras senjata api M16 bersama 450 butir peluru.
Suspek mengaku diupah sebanyak RM10,000 untuk menyeludup senjata api ke Malaysia. – KOSMO! ONLINE