SUDAH lebih 12 tahun nama Nabila Razali mewarnai industri seni tanah air. Bermula sebagai gadis yang naif di pentas Akademi Fantasia sehinggalah menjadi nama besar apabila lagu-lagunya meledak dalam carta muzik, sungguh! perjalanannya tidak mudah.
Di sebalik populariti yang diraih, ada air mata yang tumpah juga hati yang belajar untuk menjadi kuat.
“Banyak yang saya belajar. Dahulu saya fikir dunia hiburan ini tentang glamor, tetapi sebenarnya tentang ketahanan hati. Kalau cepat putus asa, saya tidak akan bertahan,” tutur Nabila tenang.
Bersulam senyum, penyanyi yang mesra disapa Bella itu tidak menafikan ada sisi getir yang harus dilalui oleh seorang selebriti iaitu menjadi sasaran kecaman netizen.
Terkenal sebagai seorang penyanyi yang sentiasa melakukan gimik setiap kali muncul dengan lagu baharu, wanita berusia 32, itu sering kali dikecam dalam sosial media.
“Saya sudah lali dengan kecaman. Sejak dari zaman Akademi Fantasia lagi saya sudah dikecam. Malah, saya boleh baca komen-komen netizen dengan tenang (ketawa).
“Sebab dalam banyak komen negatif, pasti ada beberapa komen membina yang saya akan ambil untuk memperbaiki diri. Tetapi kalau ada komen yang bersifat menjatuhkan, saya belajar untuk tidak ambil letak dalam hati,” tuturnya.
Ada ketika lelah dan rapuh, isteri kepada Nik Iruwan Nik Izani juga ibu kepada Nik Muhammad, 10 bulan itu, dia masih boleh menerima segala kecaman tetapi ada batasnya.
Bella masih boleh tersenyum andai yang dikecam adalah dirinya, namun tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan andai membabitkan ahli keluarga.
“Saya boleh terima apa saja orang hendak cakap tentang diri saya. Tetapi apabila orang mula kaitkan keluarga, terutama ibu bapa atau anak, itu sudah melampau dan saya tidak boleh terima.
“Keluarga bukan sebahagian daripada dunia hiburan, jadi mereka tidak patut ‘disentuh’. Sebelum ini pernah berlaku netizen kecam ibu bapa, saya sangat sedih,” ujarnya.
Meski bertahun menjadi ‘mangsa’ kecaman dalam dunia siber, Bella bersikap matang dengan memilih untuk memaafkan dan bertenang.
“Saya anggap orang yang kecam mungkin tengah melepaskan tekanan hidup atau menghabiskan masa lapang mereka. Jadi, saya balas dengan kebaikan. Sebab itu saya pilih judul lagu baharu saya, Balas Baik,” katanya.
MASIH kental jiwa biarpun berkali-kali dikecam bukan penyanyi yang bagus, Nabila Razali tidak pernah berpatah arang, malah terus berhasil dalam karier nyanyiannya.Simbolik
Berbicara tentang lagu baharunya, Balas Baik menjadi simbol fasa hidupnya yang lebih matang, berani dan positif. Ciptaan Audy Mok dan Shazy Ishak, lagu berkenaan bukan sekadar menandakan perubahan genre, tetapi juga pernyataan jiwa.
“Selalunya saya akan bekerjasama dengan komposer yang sama, tetapi kali ini saya cuba sesuatu yang baharu. Saya cuba keluar dari zon selesa.
“Jika sebelum ini saya banyak keluarkan lagu balada, kali ini saya mahu kembali kepada genre Nabila Razali yang dahulu,” jelasnya.
Proses rakaman Balas Baik berjalan pantas, hanya tiga jam proses rakaman di studio, namun persiapannya sahaja mengambil masa tiga bulan memandangkan Bella mahu memastikan setiap elemen, dari muzik hingga visual, menampilkan sisi segar dirinya.
“Kali ini, saya bukan hanya menyanyi. Kali ni, saya juga menari. Saya mahu tunjuk sisi berbeza Bella, lebih berkeyakinan dan bold (menonjol),” ujarnya penuh semangat.
Bagi Bella, mesej Balas Baik bersifat peribadi dan cukup dekat daripada pengalaman sebenar berdepan kecaman dalam dunia maya.
“Saya mahu menyampaikan mesej jika orang buat jahat kepada kita, tidak perlu balas dengan kejahatan. Adakala, senyum sahaja sudah cukup kuat untuk balas semua itu,” katanya.
Menyentuh tentang karier nyanyian Bella yang popular dengan barisan lagu seperti Pematah Hati, Peluang Kedua dan Vroom Vroom berkata, tidak semua lagunya menjadi hit.
Biar sudah lebih sedekad dalam industri muzik dan mempunyai peminat tersendiri, Bella akui masih bergelut untuk menghasilkan karya terbaik memikir pendengar muzik masa kini mempunyai terlalu banyak pilihan.
“Bukan semua lagu saya ‘menjadi’. Ada yang kurang mendapat sambutan. Saya anggap semua itu proses belajar kerana akhirnya berbalik kepada rezeki. Apa yang penting, saya masih di sini,” luahnya.
NABILA kini muncul dengan single baharu, Balas Balik sebuah karya berirama rancak dan catchy seperti Pematah Hati pada 2017 serta Vroom Vroom (2019) yang pernah meledakkan namanya.Transisi peribadi
Selain bergelar penyanyi dan pelakon, Bella kini senang menikmati fasa kehidupannya sebagai seorang ibu.
Banyak perkara berubah sejak buah hati, Nik Muhammad hadir dalam kehidupannya. Kekal sibuk, namun keutamaan Bella tetap kepada keluarganya.
“Sejak menjadi ibu, semuanya berubah. Saya mula lihat kehidupan daripada perspektif berbeza. Sekarang bukan tentang popular atau glamor tetapi mencari keseimbangan dalam kehidupan.
“Saya mahu melihat anak membesar depan mata dalam masa yang sama meneruskan kerjaya seni seperti biasa. Jujurnya, memang sukar, namun saya bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada suami dan keluarga.
“Selepas pantang saya berehat agak lama, sekarang anak pun sudah besar sikit, jadi saya sudah bersedia untuk kembali bekerja seperti biasa.
“Cuma, saya kini lebih memilih kerja supaya tetap dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri,” tutur Bella.
Sebelum menutup bicara, Bella sempat berkongsi perancangannya mahu melancarkan album penuh dan juga mengadakan showcase untuk peminat.
“Perancangan untuk buat showcase memang ada, malah saya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana penganjur. Cuma saya tidak mahu buat showcase ala kadar, jadi mungkin akan ambil masa kerana saya mahu persembahan yang berkualiti,” katanya.
DALAM perancangan untuk memiliki sebuah album penuh, Nabila menyimpan hasrat mahu muncul dalam sebuah showcase istimewa khas buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
5 hours ago
3

















































