Selangor bagai jatuh ditimpa tangga

5 hours ago 3

PIHAK pengurusan Selangor FC digesa untuk mengambil pendekatan terbuka apabila dimalukan insiden sebahagian penyokong setia ‘mengamuk’ selepas pasukan tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim ini.

Misi Gergasi Merah untuk melangkah ke pusingan kalah mati kejohanan kedua berprestij sia itu tidak kesampaian selepas tewas 2-3 kepada kelab Indonesia, Persib Bandung, kelmarin.

Susulan keputusan tersebut, lebih 500 penyokong mengerumuni perkarangan Stadium MBPJ selepas tamat perlawanan untuk bertemu dengan pihak pengurusan Merah Kuning bagi meminta penjelasan tetapi tidak berjaya.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim menegaskan apa yang dilakukan oleh penyokong Selangor bukan kali pertama kerana reaksi itu masih boleh dianggap sebagai rasional.

“Ini bukanlah kali pertama berlaku dalam arena bola sepak tanah air kerana beberapa insiden telah berlaku apabila penyokong hilang pertimbangan seperti di beberapa negeri sebelum ini.

SEBAHAGIAN penyokong Selangor hilang sabar apabila menceroboh kawasan padang sehingga terpaksa dihentikan beberapa petugas perlawanan kelmarin. – ISKANDAR ISHAK

“Penyokong bebas untuk menyuarakan pendapat mereka di laman sosial atau di dada akhbar dan mungkin ini adalah cara terakhir untuk mereka bersemuka dengan pihak pengurusan.

“Setakat untuk berkumpul di pekarangan tiada masalah. Jadi, pihak pengurusan Selangor FC perlu ambil iktibar dalam memulihkan semula prestasi pasukan musim ini,” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) turut menyifatkan reaksi penyokong bola sepak di luar negara lebih teruk sehingga melakukan rusuhan.

“Saya rasa apa yang berlaku masih lagi rasional dan terkawal. Kalau di luar negara seperti di Indonesia, Argentina atau di Eropah lebih melampau sampai merusuh.

“Inilah uniknya sukan bola sepak kerana boleh membuatkan sebilangan besar individu hilang pertimbangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |