KUALA SELANGOR – Kerajaan negeri akan melaksanakan program mengekang dan membanteras kejadian buli di sekolah bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya memandang serius isu buli yang boleh mencetuskan kegelisahan di kalangan ibu bapa atau penjaga terhadap keselamatan anak-anak mereka.
Katanya, fokus program tersebut terutamanya akan dijalankan di sekolah berasrama Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS).
“Kita akan laksanakan program yang baik dan arahan-arahan tertentu termasuk memastikan tidak ada sebarang insiden yang menyebabkan kegelisahan di kalangan ibu bapa dan juga penjaga terhadap anak-anak mereka.
“Kita memandang serius. Insya-Allah kita akan cuba laksanakan dibawah sekolah-sekolah JAIS terutamanya di sekolah berasrama kita seperti MITS,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Wasatiyyah dan Peluncuran Selangor Bertadabbur 2025 di sini, hari ini.
Kosmo! kelmarin melaporkan semua murid dan pelajar sekolah seluruh negara akan diwajibkan melaungkan ungkapan ‘Kami Anti Buli’ sebelum dan selepas sesi persekolahan dalam usaha membanteras gejala tersebut.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad dilaporkan berkata, pendekatan tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi membina semula mentaliti dan psikologi pelajar selain mewujudkan suasana sekolah yang selamat.
Ketika mengulas mengenai permintaan keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin berhubung bedah siasat kedua, Amirudin memaklumkan beliau prihatin terhadap kes tersebut dan berharap siasatan kes itu dijalankan dengan telus.
Selain itu, katanya, memastikan tiada ada kegiatan atau unsur-unsur meragukan terhadap insiden melibatkan Allahyarham itu.
“Insya-Allah kerajaan negeri bersedia membantu sebaik mungkin dan memastikan agar pembelaan sebaiknya.
“Mungkin satu atau dua hari ini akan ziarah keluarga Allahyarham,” katanya. – KOSMO! ONLINE