‘Saya tak tahu anak buat kerja lombong emas secara haram’

12 hours ago 9

JELI – Bapa kepada salah seorang mangsa yang maut tertimbus tanah ketika melombong emas secara haram di kawasan anak sungai dekat ladang sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah, di sini semalam tidak tahu secara spesifik pekerjaan yang dilakukan oleh anaknya.

Suhaisham Mohd. Salleh, 56, berkata, dia hanya mengetahui anaknya, Mohamad Noor Ilyas, 32, melakukan pelbagai pekerjaan di Kampung Kuala Balah, di sini.

Katanya, arwah Mohamad Noor Ilyas yang masih bujang tidak pernah memaklumkan secara spesifik pekerjaan yang dilakukan olehnya.

“Dia tidak pernah memaklumkan kepada saya sama ada mahu keluar untuk bekerja atau ke tempat yang ingin dituju. Saya juga tidak tahu dia ada buat kerja melombong emas di kawasan ladang kelapa sawit.

“Mohamad Noor Ilyas merupakan seorang yang periang, namun sikapnya berubah apabila menjadi sedikit garang dengan saya sehari sebelum ditemukan maut di kawasan anak sungai itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Jeli, di sini hari ini.

Suhaisham memberitahu, dia reda dengan kematian arwah meskipun agak terkejut dengan kejadian yang menimpa anaknya ketika sedang melombong emas.

Sementara itu, adik mangsa, Nur Ilyanis, 29, berkata, kali terakhir dia bercakap dengan abangnya tiga hari lalu selepas arwah memaklumkan akan menghantar motosikal kepada ibunya yang tinggal di Kota Bharu.

Katanya, dia sempat meminta abangnya membuat tukar hak milik sebelum motosikal itu dihantar kepada ibunya

“Arwah abang tidak sempat menghantar motosikal berkenaan. Saya ada menghubunginya kira-kira pukul 10 pagi semalam untuk bertanyakan mengenai perkara itu, namun dia ketika itu tidak menjawab panggilan telefon.

“Saya terkejut menerima panggilan telefon yang memaklumkan bahawa abang maut akibat tertimbus tanah ketika melombong emas di kawasan berkenaan malam tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |