‘Saya hutang ke, orang hutang saya ke, ini agak sulit’

6 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Susulan dakwaan hutang syarikat pembekal tudung bernilai RM4.65 juta, pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura memilih untuk tidak mengulas lanjut.

Menurut Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 42, perkara tersebut sudah diserahkan kepada pihak peguam untuk diselesaikan mengikut saluran undang-undang.

“Fazura dan syarikat adalah dua entiti berbeza. Tentang syarikat saya tak boleh nak komen banyak kerana urusan syarikat. Apa yang berlaku dalam syarikat, saya tak boleh kongsikan.

“Saya harap orang boleh faham bahawa Fazura berbeza daripada syarikat. Cabaran dalam perniagaan adalah perkara biasa. Bisnes saya bukannya bisnes kecil. Saya rasa semua usahawan pasti faham setiap cabaran dalam perniagaan.

“Tetapi seperti yang saya katakan, apa yang saya lalui dalam syarikat saya tak boleh ceritakan pada umum. Saya hutang ke, orang hutang saya ke. Perkara ini agak sulit untuk dikongsikan. Tetapi kita sudah serahkan kepada pihak peguan untuk tindakan,” katanya ketika ditemui di pelancaran lagu Luar Biasa, di sini, semalam.

Ditanya sama ada isu tersebut memberi kesan terhadap reputasi dan perniagaannya, Fazura mengakui perkara itu.

Bagaimanapun, Fazura lebih selesa bersikap positif selain menyifatkan ujian sebegitu sebagai asam garam dalam perniagaan.

“Lapan bulan kebelakangan ini, apa sahaja yang saya tak lalui. Jadi, kalau ditanya sama ada saya terkesan, sudah tentu sedikit sebanyak saya rasa.

“Saya pun manusia biasa yang ada perasaan.Tapi saya faham, itu adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan.

“Sebagai ahli perniagaan wanita, inilah realiti yang kita kena tempuh. Hanya yang pernah berniaga sahaja akan faham perkara-perkara seperti ini. Kalau nak jelaskan pun mungkin orang tak akan faham. Mungkin akan diputarbelit fakta dan sebagainya,” jelasnya.

Demi menjaga kesihatan mental, pelakon filem Pisau Cukur itu juga enggan membaca sebarang komen negatif dalam media sosial.

“Sejujurnya, saya memang tak baca media sosial, tak tengok TikTok. Tapi sekarang saya ada tengok Threads.

“Alhamdulillah,semuanya bermula daripada peminat juga. Orang tag di Threads, jadi saya masuk. Saya rasa, Threads ini sangat positif. Memang saya aktif di situ. Tapi Facebook, apatah lagi TikTok, saya memang jarang tengok sekarang.

“Komen-komen pun saya tak baca. Malah, orang sekeliling saya pun tahu, mereka tak dibenarkan beri apa-apa info kepada saya sebab saya tak nak tahu.

“Saya nak hidup dengan tenang. Saya nak gembira, dan saya nak terus fokus kepada kerjaya, perniagaan dan membesarkan anak saya.

“Anak saya, dialah permata hati saya. Jadi, itulah yang paling penting dalam hidup saya sekarang. Apa-apa berita, gosip, atau fitnah, saya memang tak ambil tahu. Alhamdulillah, saya tenang dan ingin terus begini,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan syarikat pengilang tudung milik Obor Holding iaitu Feline Malaysia mendedahkan syarikat milik Fazura berhutang hampir RM4.65 juta.

Obor Holding Sdn. Bhd selaku pemilik kilang Feline Malaysia mendakwa syarikat Pink Fate Sdn. Bhd. yang diketahui umum sinonim dengan Fazura selaku pengasas bersama (co-founder) telah dibekalkan tudung dengan nilai RM7.3 juta sejak Jun 2022.

Namun Pink Fate hanya membayar RM2,680,167.90 daripada jumlah tersebut, sekali gus masih berhutang sebanyak RM4.65 juta kepada pihak Feline.

Obor Holding turut mendakwa pihaknya mula berdepan kesukaran untuk mengutip bayaran sejak Disember 2023. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |