‘Saya dipanggil bodoh kerana kedai makan dihurung lalat’

8 hours ago 3

JASIN – “Saya terkejut apabila dimaki pelanggan dan dipanggil bodoh kerana lalat menghurungi medan selera ini”.

Demikian luahan peniaga kuih udang dan lauk-pauk, Aliza Alias, 40, yang menjalankan perniagaan di Medan Selera Simpang Bekoh di sini.

Katanya, dia telah berniaga di lokasi itu sejak empat tahun lalu dan perniagaannya tiba-tiba merosot sejak beberapa minggu lalu susulan premis niaga berkenaan diserang lalat.

“Saya dah lap semua meja dan lantai dicuci berkali-kali menggunakan cecair pembasmi lalat, tetap ia memenuhi ruang niaga dan makanan yang sudah ditutup.

“Keadaannya seperti sarang tebuan, bising dan menjijikkan dan saya faham pelanggan marah tapi ini bukan salah kami,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Difahamkan situasi jijik itu berlaku sejak empat minggu lalu dan dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembersihan reban ayam di 10 ladang ternakan dalam radius tiga kilometer dari lokasi.

Peniaga kari kambing, Nur Azzar Atan, 34, pula berkata, dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membeli lilin, semburan dan perangkap lalat bagi mengelakkan kerugian lebih besar.

“Sudahlah pelanggan semakin kurang, kami pula tanggung rugi bila terpaksa ganti lauk atau minuman yang sudah dimasuki lalat. Masalah ini bukan berpunca daripada kami, tapi kami yang terpaksa tanggung kesannya setiap hari,” katanya.

Seorang lagi peniaga warung, Kamalruzaman Ahmad, 60, berkata pendapatannya merosot hampir 40 peratus selain berdepan tanggapan buruk pelanggan terhadap kebersihan kedainya.

“Pelanggan luar lalu terus patah balik, mungkin mereka sangka kedai ini kotor dan tidak selamat. Imej perniagaan kami tercalar kerana lalat, dan kalau berlarutan, ramai peniaga mungkin gulung tikar,” jelasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Simpang Bekoh, Roslan Mahpol serta Sidang Simpang Bekoh, Abd. Latif Arshad ketika ditemui pemberita mendesak pihak berkuasa mencari penyelesaian segera.

“Kalau tidak diselesaikan segera, ia boleh menjejaskan ekonomi penduduk dan merosakkan imej Melaka sebagai negeri pelancongan,” tegasnya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |