PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Nora Ariffin menitipkan pesanan penuh makna tentang bahaya sifat cemburu yang berlebihan, terutama apabila bersulam niat jahat untuk meruntuhkan kebahagiaan orang lain.
Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, 52, mengingatkan bahawa manusia paling berbahaya ialah mereka yang tidak senang melihat kegembiraan insan lain, lalu merasa puas apabila dapat merosakkan keharmonian tersebut.
“Jangan sesekali kita cemburu dengan bahagia orang lain.
“Lebih buruk jika kita berasa puas hati apabila mampu memusnahkan kebahagiaan itu,” katanya dalam Instagram Story.
Mengakui dirinya bukanlah insan sempurna, namun pelantun Samudera itu tetap menyeru kaum wanita agar menghargai pengorbanan suami selagi mereka tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri.
“Saya bukan ustazah, apatah lagi warak. Tapi saya tahu hukum, dosa, tanggungjawab serta tugas seorang isteri selagi suami tidak mengabaikan kita.
“Jangan kita sombong atau tidak menghargai kebaikan suami. Jangan asyik mencari salah mereka sedangkan kita sendiri punya kelemahan dan kekurangan,” ujarnya.
Tambah Nora, kadangkala suami memilih untuk memendam rasa demi menjaga hati isteri, meskipun mereka sebenarnya menanggung luka dalam diam.
“Kadang-kadang suami lebih rela berdiam dan bersabar daripada meluahkan segalanya.
“Wallahualam, ini juga peringatan untuk diri saya sendiri,” luahnya.
Meskipun tidak menyebut mana-mana pihak secara jelas, ramai netizen membuat andaian seolah-olah hantaran itu ditujukan kepada isteri pertama suaminya.
Terdahulu, pada pagi Isnin lalu berlangsung proses laporan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) antara Nora dan suaminya, Dr. Rushdi. Prosiding perceraian akan diteruskan pada 3 September depan bagi proses hakam.
Untuk rekod, Nora melantik kakak angkatnya, Rafeah Ariffin, sebagai wakil JKP, manakala Dr. Rushdi memilih rakannya, Syamsul Omar.
Pada 21 April lalu, penyanyi itu memfailkan perceraian selepas tercetus konflik rumah tangga yang tular dalam media sosial, termasuk video lafaz cerai suaminya.
Namun sebulan kemudian, Nora mengumumkan bahawa mereka kembali rujuk.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2021, beberapa tahun selepas Nora kehilangan suami pertama, komposer terkenal Allahyarham Johan Nawawi, yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung. – KOSMO! ONLINE