KEMAMAN – Sepasang suami isteri buntu mencari baki RM40,000 bagi membiayai kos pembedahan bayi lelaki mereka menghidap penyakit paru-paru kronik dan jantung berlubang yang dijadual Oktober ini.
Nur Shahira Ashiqin Nasrudin, 31, berkata, kos keseluruhan bagi pembedahan itu adalah RM84,000.
Katanya, suami Mohd. Kharil Izuan Rasid, 32, yang bekerja sebagai polis bantuan di Felda Neram II di sini memohon kelulusan jaminan (GL) sebanyak kira-kira RM45,000 daripada syarikatnya bagi membiayai separuh daripada kos pembedahan tersebut.
Dia berkata, GL tersebut bagaimanapun hanya akan diluluskan setelah bayi mereka, Muhammad Yusuf Rizqi yang berusia 14 bulan mendaftar masuk ke dalam hospital bagi pembedahan berkenaan.
“Anak kami (Muhammad Yusuf Rizqi) mempunyai masalah jantung berlubang dan saluran darah paru-paru terbalik sejak lahir.
“Dia dijadualkan menjalani pembedahan membuka ikatan pada paru-paru dan menutup lubang jantung Oktober ini melibatkan kos keseluruhan RM84,000,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Neram II, Bandar Cheneh Baru, di sini semalam.
Ujarnya, wang simpanan mereka sudah kehabisan digunakan untuk menampung kos rawatan dan perjalanan berulang-alik ke sebuah hospital di Kuala Lumpur sejak tahun lalu.
Ibu enam anak itu berkata, sebelum ini, dia dan suami terpaksa menjual kereta dan motosikal bagi membiayai kos perubatan Muhammad Yusuf Rizqi.
“Anak kami pernah menjalani empat kali pembedahan sejak lahir termasuk memasang alatan pada jantung dan paru-paru di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur November tahun lalu.
“Saya dan suami berdoa agar anak saya sembuh dan cergas seperti bayi lain suatu hari nanti. Buat masa ini, dia mudah penat dan bercungap-cungap terutama sewaktu melakukan aktiviti fizikal seperti merangkak dan bermain,” katanya.
Nur Shahira Ashiqin berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru meluluskan permohonan bantuan penyakit kronik buat Muhammad Yusuf Rizqi sebanyak RM500 sebulan yang mula disalurkan bulan depan.
Dia merayu bantuan orang ramai kerana tanpa dana RM40,000 tersebut, berkemungkinan besar pembedahan bayi lelakinya tidak dapat direalisasikan.
Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank suaminya, Mohd. Khairil Izuan bernombor 163019626682 (Maybank) atau menghubunginya di talian 019-818 0268.