Sambutan merdeka berjalan lancar, 80,000 dijangka hadir

18 hours ago 6

PUTRAJAYA – Lebih 80,000 pengunjung dijangka membanjiri Dataran Putrajaya sempena Hari Kebangsaan 2026 dengan persiapan kini mencapai 85 hingga 90 peratus.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, persiapan membabitkan pelbagai peringkat termasuk latihan statik semua kontinjen telah mula dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi sambutan yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’.

“Perlu saya maklumkan bahawa kerajaan menetapkan sambutan kali ini dengan peruntukan yang sederhana tetapi kemeriahan tetap akan kita rasakan.

“Pertunjukan udara juga masih ada tetapi dalam skala kecil, (perarakan) aset juga berkurangan dengan mengambil kira krisis tenaga global dan kerajaan sangat cermat dan berhati-hati dalam menguruskan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tapak dari Perbadanan Putrajaya (PPj) bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata, pemantauan keadaan cuaca turut menjadi perkara yang diberi perhatian menerusi kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar bagi mendapatkan maklumat terkini sebelum ia disampaikan kepada orang ramai.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, Kementerian Komunikasi telah menubuhkan 18 jawatankuasa kerja bagi memastikan segala aspek persiapan sambutan dilaksanakan dengan teratur dan satu daripadanya ialah Jawatankuasa Logistik dan Persiapan Tempat, yang memainkan peranan strategik dalam memastikan kesiapsiagaan tapak serta segala keperluan logistik berada pada tahap terbaik.

“Kesiapsiagaan tapak sambutan bukan sahaja mencerminkan imej dan kualiti penganjuran, malah menjadi antara aspek penting dalam memastikan keseluruhan acara dapat berlangsung dengan lancar, teratur dan selamat tanpa sebarang halangan,” katanya.

Menjelang fasa akhir persediaan, sesi raptai sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Ogos.

Acara perarakan dan perbarisan pula melibatkan 10,819 peserta daripada 77 kontinjen, selain menampilkan 328 aset, 22 kenderaan elektrik (EV), 112 aset hidup, 22 pasukan pancaragam dan 11 kereta berhias. – Bernama

Read Entire Article
Pertanian | | | |