PETALING JAYA – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bakal menganjurkan Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2026 (HHIN2026) dari 28 hingga 30 April ini dengan memberi penekanan terhadap peranan harta intelek sebagai pemangkin industri sukan negara.
Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, tema “Harta Intelek Nadi Malaysia Madani: IP & Sukan – Dari Idea ke Podium” dipilih selaras dengan perkembangan industri sukan global yang kini menjadi sektor ekonomi bernilai tinggi.
“Kejayaan dalam sukan masa kini tidak hanya bergantung kepada prestasi atlet semata-mata, sebaliknya turut dipacu oleh pembangunan jenama, teknologi latihan, reka bentuk peralatan, kandungan digital serta strategi komersial yang berkait rapat dengan perlindungan harta intelek.
“Melalui pendekatan ini, idea dan kreativiti dalam dunia sukan dapat dilindungi, dikembangkan dan seterusnya dikomersialkan,” katanya pada sidang akhbar selepas program Serve & Protect: HHIN Media Pickleball Challenge hari ini.
Tambah beliau, sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan termasuk seminar, forum bersama pakar industri, pameran inovasi dan jenama sukan, kuiz interaktif serta pertandingan sukan mini.
Kemuncak sambutan ialah Majlis Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2026 pada 30 April yang mengiktiraf pencipta, inovator, pemilik jenama dan organisasi cemerlang dalam memanfaatkan harta intelek.
Enam kategori dipertandingkan antaranya Nadi Kreatif (hak cipta), Juara Jenama, Wira Inovatif (paten), InoReka, Permata Cilik serta Organisasi Terunggul Harta Intelek.
Menariknya, tahun ini turut diperkenalkan kategori khas Anugerah Inspirasi Madani bagi menghargai sumbangan atlet, pasukan dan organisasi dalam memajukan industri sukan melalui pemerkasaan harta intelek.
Penyampaian anugerah akan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Sambutan tersebut juga dilihat sebagai platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda dan komuniti kreatif, tentang kepentingan melindungi idea serta inovasi sebagai aset bernilai tinggi negara. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4








![[VIDEO] Tunggu lama depan tong sampah, bila ‘line clear’ terus keluarkan…](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/IMG-20260426-WA0003.jpg)







![[VIDEO] Himpunan Tangkap Azam Baki: Polis buru individu bakar mercun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-25-at-7.27.49-PM.jpeg)































