[VIDEO] Mak meninggal kanser bulan Mei, ayah lemas pagi tadi

8 hours ago 8

PETALING JAYA – Dua beradik yang baru kehilangan kasih sayang ibu pada Mei lalu, diuji sekali lagi apabila bapa mereka pula ditemukan lemas di Sungai Pahang, pagi tadi.

Kisah dua beradik yatim piatu tersebut, Nurul Izni Zafirah Muhamed Hanifa, 17, dan adiknya, Muhamad Aif Izzuddin, 13, mendapat pembelaan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Nurul Izni Zafirah merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh, manakala Muhamad Aif Izzuddin pelajar tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing, Johor dihubungi oleh Asyraf Wajdi dan perbualan tersebut turut dikongsikan di media sosialnya.

Dalam perbualan itu, Muhamad Aif Izzuddin memaklumkan, ibunya merupakan suri rumah dan meninggal dunia pada 25 Mei lalu susulan kanser paru-paru dan masalah buah pinggang, manakala bapanya bertugas sebagai polis bantuan di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Temerloh.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan mengambil Nurul Izni Zafirah sebagai Anak Angkat YPM dan membantu kos pembelajarannya sehingga tamat pengajian.

“Kalau perlu kelas tambahan atau tuisyen khas, saya tanggung kos tersebut sampai SPM. Pastikan dapat yang terbaik untuk SPM dan lepas SPM, kita bantu dia,” katanya.

Beliau berkata, untuk Muhamad Aif Izzuddin yang sedang menuntut di MRSM Mersing, dia akan menerima Bantuan Budi bagi membantu keperluan persekolahannya.

“Saya akan minta supaya Aif dimasukkan untuk Bantuan Budi. Jadi akan ada duit poket. Bagitahu saja kalau ada masalah.

“Aif anggaplah saya sebagai ayah Aif sendiri,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, kehilangan ibu bapa pada usia masih muda bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui.

“Justeru, Mara akan memastikan kedua-dua adik beradik ini akan dibantu sehingga mereka berjaya tamat pengajiannya.

“Mudah-mudahan sedikit bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi ruang kepada anak-anak Allahyarham untuk terus melangkah mengejar masa depan.

“Kita doakan agar Allahyarham Muhamed Hanifa ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan ketabahan buat anak-anak dan seluruh keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, seorang lelaki yang terjatuh bot ketika memancing ikan di Sungai Pahang berhampiran Kampung Lebak Seberang di Temerloh kelmarin, ditemukan lemas hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Ibrahim dilaporkan berkata, mayat mangsa, Muhamed Hanifa Mammu, 47, dijumpai pihaknya kira-kira pukul 7.50 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

@drasyrafwajdiMARA BANTU ANAK-ANAK KELUARGA MANGSA TRAGEDI LEMAS DI SUNGAI PAHANG Pagi ini saya sempat video call bersama keluarga Allahyarham Muhamed Hanifa yang baru sahaja ditemui dalam tragedi lemas pada jam 7.05 pagi oleh anggota bomba Temerloh di Sungai Pahang. Lebih menyayat hati, ibu kepada dua orang anak ini juga baru sahaja meninggal dunia pada Mei lalu akibat penyakit kanser. Kini, kedua-dua anak mereka, Nurul Izni Zafirah yang bakal menduduki SPM dan adiknya Muhamad Aif Izzuddin, pelajar tingkatan 1 yang sedang belajar di MRSM Mersing, terpaksa meneruskan kehidupan tanpa kedua-dua ibu dan bapa. Saya sempat bertanya khabar dan berbual dengan anak-anak Allahyarham. Walaupun jelas terasa kesedihan mereka, saya pesan supaya terus kuat dan jangan sesekali berputus asa dalam mengejar cita-cita terutama dalam ilmu pelajaran. Insya-Allah, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) akan mengambil Kakak, Nurul Izni Zafirah, sebagai Anak Angkat YPM dan membantu kos pembelajarannya sehingga tamat pengajian. Manakala adiknya, Muhamad Aif Izzuddin yang sedang menuntut di MRSM Mersing, akan menerima Bantuan BUDI bagi membantu keperluan persekolahannya. Kehilangan ibu dan bapa pada usia yang masih muda bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. MARA akan memastikan kedua-dua adik beradik ini akan dibantu sehingga mereka berjaya tamat pengajiannya. Mudah-mudahan sedikit bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi ruang kepada anak-anak Allahyarham untuk terus melangkah mengejar masa depan. Kita doakan agar Allahyarham Muhamed Hanifa ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan ketabahan buat anak-anak dan seluruh keluarga yang ditinggalkan. #MerakyatkanMARA #HebatkanMARA #HidupBiarBerjasa #HidupKuMilikUmmah

♬ original sound – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Read Entire Article
Pertanian | | | |