Piala Sumbangsih: JDT cipta rekod dunia, 109 perlawanan tanpa kalah

6 hours ago 7

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengganas apabila mencipta sejarah baharu bola sepak dunia selepas menewaskan Kuching City FC 3-0 dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Lebih manis, kemenangan bergaya itu menyaksikan Harimau Selatan mencatat 109 perlawanan tanpa kalah, sekali gus memadam rekod 108 perlawanan milik kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas yang bertahan sejak 1989 hingga 1994.

Kejayaan itu turut membolehkan JDT mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali ke-11 berturut-turut, sekali gus memastikan trofi berprestij berkenaan terus kekal di bumi selatan.

JDT membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Marcos Guilherme yang meledakkan rembatan selepas gerakan serangan dari sebelah kiri gagal dikawal kemas pertahanan Kuching City.

Kuching City yang tersentak dengan jaringan itu cuba bangkit memburu gol penyamaan, namun ketenangan benteng JDT menyukarkan usaha skuad The Cats untuk mencipta peluang berbahaya.

JDT hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-26 apabila Nacho Mendez melonjak tinggi untuk menanduk bola, namun percubaannya sekadar melewati palang.

Bergson da Silva turut mempunyai dua peluang terbaik pada masa kecederaan babak pertama, namun penyudah penyerang berbisa itu belum menemui sasaran.

Bersambung babak kedua, Kuching City tampil lebih agresif dengan meningkatkan tekanan ke kubu JDT bagi mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun, keghairahan pasukan pelawat itu memakan diri apabila JDT pantas menghukum menerusi jaringan kedua pada minit ke-54.

Oscar Aribas melepaskan rembatan kencang selepas menerima umpanan cantik rakan sepasukan untuk meletakkan JDT selesa mendahului 2-0.

Kuching City hampir merapatkan jurang menerusi Nur Shamie Iszuan, namun percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan.

JDT kemudian melengkapkan malam bersejarah pada minit ke-85 apabila Zaheditabar Shahab menyumbat gol ketiga selepas menerima hantaran cantik Arif Aiman, sekali gus memastikan kemenangan 3-0 kekal sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan JDT bukan sahaja mengekalkan dominasi dalam Piala Sumbangsih, malah meneruskan rentetan luar biasa 109 perlawanan tanpa kalah yang kini menjadi penanda aras baharu dalam sejarah bola sepak dunia.

Untuk rekod, JDT telah memenangi Piala Sumbangsih sebanyak 11 kali sejak era moden penubuhan kelab pada 2015 hingga Ogos 2026. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |