Rohingya Melaka mahu ada wakil JPKK, dibenar solat Jumaat berasingan

14 hours ago 9

MELAKA – Komuniti Rohingya di negeri ini pernah mengemukakan beberapa permintaan termasuk mahu meletakkan wakil dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), mendapatkan tauliah mengajar agama serta mengadakan solat Jumaat secara berasingan dalam kalangan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abd. Halem berkata, bagaimanapun semua permintaan tersebut tidak pernah dipersetujui kerana pelarian Rohingya tidak mempunyai hak yang sama seperti rakyat Malaysia.

Menurutnya, kerajaan negeri sejak awal lagi mengambil pendirian tegas bahawa status pelarian tidak boleh dijadikan asas untuk menuntut pengiktirafan pentadbiran, politik atau keagamaan di negara ini.

“Mereka pernah memohon, kononnya untuk mendidik anak-anak komuniti mereka. Tapi kita tidak pernah bersetuju dan kita pantau perkara ini kerana pelarian tetap pelarian.

”Kita tidak pernah mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia yang mempunyai hak sama seperti kaum-kaum lain di negara ini,” katanya selepas mengetuai pemantauan bersama beberapa agensi kerajaan di kawasan penempatan Rohingya di Jalan Pulau Senang 3, Semabok di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd. Noor Helmy yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, beliau percaya keberanian segelintir komuniti Rohingya mengemukakan tuntutan sedemikian berpunca daripada ruang yang pernah diberikan pihak tertentu sebelum ini.

“Saya melihat permohonan itu mungkin mempunyai tujuan lain iaitu membolehkan individu terbabit bergerak bebas dari satu kawasan ke satu kawasan lain atas kapasiti sebagai tenaga pengajar agama,” katanya.

Helmy berkata, dianggarkan hampir 1,000 pelarian Rohingya kini menetap di sekitar kawasan Parlimen Kota Melaka terutama di Duyong, Limbongan dan Pengkalan Rama Pantai. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |