Richiamo Coffee, De’Xandra lancar pewangi kereta beraroma kopi

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Richiamo Coffee dan De’Xandra, dua jenama popular di negara ini bergabung tenaga melancarkan empat koleksi pewangi kereta beraroma kopi yang  menampilkan variasi bauan ikonik diinspirasikan daripada minuman kopi popular iaitu Caffe Latte, Americano, Barista dan Mochaccino.

Ketua Pegawai Eksekutif De’Xandra, Safwan Ismail berkata, kerjasama itu bukan sekadar memperkenalkan produk baharu tetapi juga menawarkan pengalaman baharu kepada pengguna dengan membangkitkan suasana kafe di mana-mana sahaja.

“Kami mahu pengguna menikmati suasana kafe melalui keharuman ini, tidak kira di dalam kereta, bilik tidur atau ruang kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pewangi kereta baharu itu yang disempurnakan oleh  Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Richiamo Coffee, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah.

Safwan menjelaskan,  produk baharu ini telah mula berada di pasaran sejak tiga minggu lalu dan ia dijual pada harga RM12.90 dan boleh didapati di semua cawangan Richiamo Coffee, Richiamo Mart serta melalui ejen dan pengedar sah De’Xandra selain platform rasmi kedua-dua jenama.

Sementara itu,  Muhamad Zamry berkata, kerjasama strategik itu akan membolehkan jenama kopi tempatan itu mendekati pengguna di luar kedai kopi tradisional.

“Kami berbangga membawa semangat kopi Richiamo keluar dari cawan dan terus ke dalam gaya hidup pengguna,” katanya.

Tambah beliau, buat masa ini kedua-dua jenama memberi tumpuan kepada empat variasi wangian itu terlebih dahulu.

“Pada masa akan datang kita bercadang untuk menghasilkan versi baharu termasuk pewangi badan. Bagaimanapun, produk sedia ada ini telah mendapat sambutan amat menggalakkan setakat ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |