KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) menyokong arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya semua laporan polis diterima tanpa diskriminasi terhadap individu yang hadir, termasuk membabitkan cara pemakaian, kaum, latar belakang atau status.
Presidennya, Datuk Meor Chek Hussien Mahayudin berkata, arahan itu mencerminkan komitmen PDRM dalam memastikan setiap individu mendapat akses kepada perkhidmatan polis secara adil, terutama ketika berdepan situasi kecemasan.
Beliau berkata, dalam keadaan seperti menjadi mangsa jenayah atau kemalangan, keutamaan anggota polis adalah memberikan bantuan segera serta melindungi nyawa dan keselamatan orang awam, bukannya menilai penampilan individu.
“Respa percaya setiap individu berhak mendapat akses kepada perkhidmatan penguatkuasaan secara adil dan saksama.
“Tindakan menolak laporan atas alasan yang tidak munasabah bukan saja menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan, malah boleh membahayakan keselamatan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan arahan itu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai galakan kepada orang ramai untuk sengaja hadir ke balai polis dengan pakaian yang tidak sopan atau bertentangan dengan norma masyarakat.
Katanya, balai polis sebagai institusi awam perlu terus dihormati dan orang ramai sewajarnya berpakaian sopan apabila berurusan dalam keadaan biasa.
“Namun, sekiranya berlaku situasi kecemasan atau membabitkan ancaman terhadap nyawa, aspek bantuan dan perlindungan hendaklah mengatasi pertimbangan mengenai penampilan,” katanya.
Menurut beliau, Respa turut menyokong usaha Polis Pulau Pinang memperkukuhkan integriti, meningkatkan profesionalisme, memanfaatkan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), selain mengenal pasti kawasan berisiko tinggi melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti.
Katanya, beliau berharap pendekatan itu dijadikan amalan standard di semua balai polis di seluruh negara supaya setiap premis polis terus diyakini sebagai tempat perlindungan oleh semua lapisan masyarakat.
“Hubungan yang berasaskan kepercayaan antara polis dan rakyat merupakan kunci kepada keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
9

















































