PETALING JAYA – Dua tahun hati berbolak-balik, akhirnya penyanyi Shiha Zikir diberikan keberanian untuk meluncurkan single terbaharunya berjudul Renjana.
Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 37, memaklumkan lagu tersebut sangat menyentuh emosi kerana berkait rapat dengan arwah bapanya, Mohd. Zikir yang meninggal dunia 17 tahun lalu.
Malah, Shiha mengakui tidak dapat mengawal emosi lantas menyebabkan dia sukar untuk mempersembahkan lagu tersebut secara langsung (live).
“Saya ambil masa dua tahun sebab saya sendiri belum bersedia. Bila nyanyi lagu ini, walau di rumah sekali pun saya akan menangis.
“Saya tulis sendiri lagu ini. Setiap bait lirik datang dari hati saya sendiri sebab itu saya bimbang kalau promosikan lagu ini, saya akan terbawa-bawa emosi dan tak mampu nak menyanyi dengan baik,” katanya.
Lebih istimewa, Shiha memilih tanggal 13 Jun untuk melancarkan lagu tersebut bersempena dengan tarikh pemergian arwah bapanya yang dijemput Ilahi akibat serangan jantung.
“Sebenarnya ramai beri cadangan untuk lancarkan lagu ini sempena Hari Bapa, tapi saya pilih untuk ikut tarikh arwah ayah meninggal dunia sebab lebih bermakna.
“Kebetulan pula 15 Jun memang jatuh Hari Bapa, jadi saya harap lagu ini boleh menjadi peringatan kepada semua tentang pengorbanan insan tersayang,” katanya lagi.
Sejak dilancarkan Jumaat lalu, Renjana mendapat sambutan positif daripada peminat yang menyifatkan lagu itu sebagai menyentuh jiwa dan penuh emosi.
Shiha turut berterima kasih atas sokongan peminat dan rakan-rakan yang memahami maksud sebenar lagu tersebut.
“Arwah ayah selalu pesan, kalau nak buat sesuatu, kena buat bersungguh-sungguh.
“Pesanan itu saya pegang sampai sekarang, termasuk dalam menghasilkan lagu ini,” jelasnya.
Lagu Renjana bukan sekadar karya seni peribadi buat Shiha, sebaliknya menjadi refleksi rasa rindu seorang anak kepada insan bergelar ayah yang banyak berkorban dalam hidupnya. – KOSMO! ONLINE