PETALING JAYA – Keluarga kepada seorang penunggang motosikal yang parah akibat kemalangan langgar lari di Jalan Cheras awal pagi Ahad lalu merayu orang ramai yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi, mangsa, Muhammad Luqman Hakim Mohd Rajis, 21, dilanggar salah sebuah motosikal daripada kumpulan penunggang motosikal yang dipercayai memotong secara melulu di kawasan berhampiran pusat beli-belah Eko Cheras.
Menurut abang mangsa, Muhamad Nasrul Hakim, 27, adiknya ketika itu menunggang secara berasingan bersama seorang jiran dan tunangnya untuk keluar makan di sekitar Kuala Lumpur.
“Jiran saya memaklumkan sekumpulan penunggang motosikal dianggarkan enam hingga tujuh buah telah memotong di tengah-tengah laluan dan salah satu daripada mereka melanggar motosikal adik saya.
“Akibat pelanggaran itu, adik saya hilang kawalan dan terjatuh. Jiran sempat brek dan cuba beri bantuan serta menghubungi ambulans,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambahnya, tiada nombor pendaftaran sempat dicam, namun motosikal yang melanggar dipercayai jenis Yamaha LC.
Muhammad Luqman kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dalam keadaan separa sedar selepas menjalani pembedahan ekoran pendarahan pada bahagian kepala.
“Tangan dan kaki adik saya turut mengalami kecederaan teruk akibat diseret. Saya benar-benar berharap ada yang dapat tampil bantu beri maklumat atau rakaman dashcam (rakaman kamera papan pemuka).
“Saya difahamkan terdapat beberapa kereta berhenti seketika di lokasi kejadian, mungkin mereka melihat apa yang berlaku,” ujarnya.
Menurut Nasrul, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Trafik HS Lee, Kuala Lumpur sejurus selepas kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka diminta menghubunginya di talian 017-385 2415. – KOSMO! ONLINE