MELAKA – Seorang remaja berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk menyebabkan kematian ibu dan abangnya dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Khamis lalu.
Tertuduh yang memakai baju lokap bewarna ungu dikatakan kelihatan sugul dan hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian terhadap ibu dan abangnya masing-masing berusia 51 dan 21 tahun di sebuah rumah bernombor, Taman Rambai Mutiara dalam daerah Melaka Tengah antara 5 pagi dan 5.30 pagi pada 12 Jun 2025.
Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah dihukum minimum 12 sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap adik lelakinya berusia 13 tahun menggunakan pisau lipat di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Roslan tidak menawarkan sebarang jaminan bagi pertuduhan tersebut dan Peguam Cassian Anthony yang mewakili tertuduh tidak membuat sebarang bantahan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 24 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Kosmo! pada 12 Jun lalu melaporkan, seorang guru wanita dan anak lelakinya ditemui mati dipercayai akibat dibunuh, manakala seorang lagi ahli keluarga itu parah dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai.
Dalam tragedi kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa masing-masing berusia 51 dan 21 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu, manakala anak bongsu berusia 13 tahun yang terselamat berada di kawasan garaj kediaman tersebut.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja yang juga merupakan anak kedua keluarga tersebut berusia 17 tahun selepas disyaki terlibat dalam jenayah berkenaan.
Hasil pemeriksaan di lokasi turut menjumpai senjata iaitu pisau lipat sepanjang 20 sentimeter di dalam beg sekolah milik suspek.
Motif kejadian dipercayai akibat dendam apabila kedua-dua mangsa dikatakan sering memarahi suspek dan memaksanya belajar susulan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. – KOSMO! ONLINE