‘Ramai datang dari luar Melaka, gaji bermula RM3,500’

8 hours ago 7

MELAKA – Kejadian tular dipercayai lebih 1,000 individu hadir untuk sesi temu duga sebuah kilang mikroelektronik sehingga sanggup beratur panjang dalam keadaan panas dipercayai didominasi pencari kerja dari luar Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem menjelaskan, situasi itu langsung tidak mencerminkan kadar pengangguran di negara ini yang hanya merekodkan sekitar dua peratus iaitu antara terendah dalam negara.

Menurutnya, sambutan luar biasa terhadap sesi pengambilan pekerja itu lebih menunjukkan daya tarikan peluang pekerjaan yang ditawarkan berbanding kekurangan peluang pekerjaan di negeri ini.

“Kadar pengangguran di Melaka hanya kira-kira dua peratus sahaja. Saya percaya ramai yang hadir bukan dalam kalangan rakyat Melaka, sebaliknya datang dari negeri lain kerana tertarik dengan tawaran pekerjaan yang disediakan.

“Kerajaan negeri bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sentiasa menganjurkan pelbagai program dan karnival kerjaya bagi membantu rakyat mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, syarikat elektronik berkenaan memaklumkan sesi temu duga terbuka itu diadakan bagi mengisi antara 300 hingga 500 kekosongan jawatan melibatkan operator pengeluaran dan juruteknik.

Menurutnya, tawaran gaji yang dipercayai bermula sekitar RM3,500 sebulan menjadi antara faktor utama yang mendorong kehadiran pencari kerja dalam jumlah yang besar.

“Apabila syarikat menawarkan peluang pekerjaan yang baik dengan gaji kompetitif, sudah tentu ia akan menarik minat ramai pencari kerja termasuk dari luar negeri.

“Keadaan ini juga menunjukkan Melaka terus menjadi destinasi pilihan untuk bekerja dan menjalankan aktiviti ekonomi hasil pertumbuhan pelaburan yang memberangsangkan,” katanya.

Terdahulu, rakaman video memaparkan ratusan pencari kerja beratur panjang sejak awal pagi di sebuah kilang elektronik di Batu Berendam tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |