‘Ramai cef hebat hantar resume, saya tak berani tanya gaji’

12 hours ago 8

PETALING JAYA – Gara-gara hantaran mencari cef peribadi demi menjaga pemakanan anak-anak tular dalam media sosial, pelakon Diana Danielle mengakui menerima banyak resume daripada ramai cef profesional di hotel-hotel, dalam dan luar negara.

Ujar Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, kebanyakan permohonan diterima datang daripada cef berpengalaman sehingga membuatkan dirinya berasa ‘kecut perut’ memikirkan soal bayaran.

“Sejujurnya, itu hanya satu perkongsian di Threads. Saya terfikir, patutkah saya melabur untuk ambil cef peribadi? Kadang-kadang anak-anak nak makan macam-macam, tetapi akhirnya kami tetap pesan makanan luar.

“Tahun ini saya memang sibuk. Kalau sebelum ini saya masih boleh uruskan semuanya, sekarang nampaknya saya perlukan bantuan. Memang ramai hantar resume, tetapi saya tak berani tanya gaji.

“Takut pula kalau gaji mereka sama dengan pendapatan saya sebulan. Ada antara mereka pernah bekerja di hotel bertahun-tahun, malah ada pengalaman di Dubai,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah bintang filem Imaginur itu, keperluan sebenar bukanlah cef bertaraf lima bintang, sebaliknya individu yang memahami asas nutrisi serta mampu menyediakan hidangan sihat mengikut selera anak-anak.

Bagaimanapun, dia memaklumkan rancangan tersebut masih tertangguh kerana ingin melakukan pengubahsuaian dapur terlebih dahulu.

“Saya hanya perlukan seseorang yang faham nutrisi asas, boleh masak makanan yang anak-anak suka tetapi dalam versi lebih sihat. Itu sahaja.

“Tetapi saya nak ubah suai dapur dulu. Susun atur sekarang kurang selesa untuk ada orang masuk memasak.

“Perancangan itu sebenarnya sudah lama, sejak tahun lepas lagi, cuma belum sempat. Mungkin beberapa bulan lagi,” ujarnya pada penggambaran filem terbaharunya berjudul Cobra 7: Peluru Terakhir di sini, semalam.

Ibu dua anak itu turut menegaskan perkongsian tersebut bukan bertujuan menunjuk-nunjuk, sebaliknya ingin berkongsi inspirasi kepada golongan ibu dalam menyediakan makanan terbaik buat keluarga.

“Saya gembira untuk berkongsi menu ringkas dan sihat dengan ibu-ibu lain. Komuniti mak-mak memang suka benda begini.

“Kami sanggup melabur masa dan tenaga untuk beri yang terbaik kepada anak-anak. Harap orang tidak salah faham dan anggap saya mahu menunjuk,” jelasnya.

Paling penting kata Diana, segala usaha dilakukan demi masa depan anak-anak agar keperluan mereka sentiasa terjaga walaupun dirinya sibuk bekerja.

“Saya masih memasak, bukan tak masak langsung, cuma untuk rutin harian, saya perlukan bantuan.

“Pemakanan penting sebab mereka aktif bersukan dan belajar. Kalau tidak cukup nutrisi, mudah jatuh sakit.

“Ini cara saya pastikan walaupun sibuk, saya tidak abaikan mereka. Duit boleh cari, tetapi janganlah mahal sangat ya. Chef-chef bajet, tolonglah,” selorohnya.

Terdahulu, Diana berkongsi hasrat mencari cef peribadi bagi membantu menyediakan hidangan harian buat anak-anaknya, selain memastikan keperluan nutrisi mereka sentiasa terjaga.

Dalam perkembangan lain, Diana sedang sibuk menjalani penggambaran filem Cobra 7: Peluru Terakhir arahan Faisal Ishak dijangka menemui penonton sekitar hujung tahun ini.

Selain Diana, filem tersebut juga dibintangi pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Zahiril Adzim, Amar Baharin dan Ahirine Ahidrudin. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |