Rakyat Malaysia dibawa keluar Iran guna laluan darat ke Turkmenistan

7 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah segera dan tegas dengan mengarahkan semua rakyat Malaysia yang berada di Iran untuk meninggalkan negara tersebut susulan perkembangan keselamatan yang membimbangkan di rantau itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan telah mengatur pelan evakuasi menyeluruh berikutan ketiadaan penerbangan keluar dari Tehran.

Katanya, rakyat Malaysia yang terjejas telah diarahkan untuk bergerak menggunakan laluan darat sejauh 950 kilometer ke negara jiran, Turkmenistan.

“Lantaran tiada sebarang penerbangan dibenarkan melalui Iran pada ketika ini, kita telah siapkan kenderaan untuk mereka melalui jalan darat pergi ke tempat paling dekat.

“Perjalanan sejauh 950km dianggarkan 13 jam kerana perjalanan ke sana perlu merentasi banjaran dan sebagainya untuk sampai ke ibu negara Turkmenistan di Ashgabat,” katanya menerusi satu perkongsian video di TikTok.

Bagi memastikan proses pengeluaran berjalan lancar, Mohamad memberitahu, semua kelulusan daripada pihak Turkmenistan seperti visa telah diluluskan bagi membolehkan rakyat Malaysia memasuki negara itu dan diberikan tempoh dua hari untuk berada di sana sementara menunggu proses selanjutnya.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan dilaporkan berkata, jumlah rakyat Malaysia di Iran adalah kecil dan terdiri daripada kakitangan kedutaan, pelajar dan pelancong.

Kementerian itu juga sedang bekerjasama rapat dengan Perwakilan Malaysia yang terlibat bagi memastikan perjalanan pulang rakyat negata ini ke tanah air dilaksanakan dengan segera dan selamat.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Malaysia akan memindahkan rakyatnya dari Iran pada Jumaat berikutan peningkatan risiko keselamatan susulan konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |