Rakyat Johor diminta bekerjasama capai visi negeri maju menjelang 2030 – Onn Hafiz

11 hours ago 6

KULAI – Rakyat Johor digesa untuk memberi mandat kepada kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) dalam memastikan misi dan visi yang telah dimulakan bagi mencapai sasaran negeri maju menjelang 2030 menjadi kenyataan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelbagai inisiatif yang telah dimulakan pihaknya ketika ini merupakan fasa pertama dan bakal memasuki tempoh pelaksanaan genting bagi beberapa tahun akan datang.

“Untuk rakyat Johor, saya nak tekankan kepentingan aspirasi Maju Johor 2030. Visi menjadikan negeri ini sebuah negeri maju, yang pertama di Malaysia. Oleh itu kerajaan negeri yang saya pimpin perlukan sokongan rakyat Johor.

“Kita baharu memasuki fasa pertama, sama ada kita akan masuk ke fasa kedua atau tidak itu berganda kepada keputusan rakyat Johor pada beberapa minggu akan datang ini,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Johor Tech Smart City di Indahpura, di sini hari ini.

Sementara itu, Onn Hafiz memberitahu inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimulakan sejak dua tahun lalu juga telah mula menunjukkan hasil apabila kerajaan negeri berjaya menarik kemasukan pelaburan sebanyak RM110 bilion, tahun lalu.

“JS-SEZ ini bukan sahaja katalis kepada pembangunan Johor, Malaysia dan Singapura, tetapi ia juga berpotensi menjadi katalis pembangunan ekonomi Asia Tenggara, sekarang sudah mula menampakkan hasil.

“Banyak pembangunan sedang berjalan, banyak telah kita capai dalam tempoh singkat tetapi ini baharu permulaan. ‘Blue print’ inisiatif JS-SEZ juga belum dimuktamadkan, kita jangka ia akan ditandingi antara Malaysia dan Singapura pada hujung tahun ini.

“Apabila siap kelak, projek Johor Tech Smart City ini bakal menyediakan sehingga 10,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, dan ia akan menjadi salah satu projek ikonik di negeri Johor,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |