KUALA LUMPUR – Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila menjuarai Perlumbaan 2 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 yang berlangsung di Litar Barcelona-Catalunya, sebentar tadi.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan lagu Negaraku kembali berkumandang di bumi Eropah, menandakan dominasi berterusan pelumba berusia 13 tahun itu dalam kategori ESBK Talent.
Sebelum ini Qabil telah meraih dua kemenangan berturut-turut di Jerez, Sepanyol pada April lalu, selain menamatkan Perlumbaan 1 di Catalunya di kedudukan tempat kedua, semalam.

Qabil mengakui dia telah bekerja keras terutama menjaga tayar jentera sepanjang perlumbaan bagi mengelak persembahannya terjejas.
“Perlumbaan ini sangat sukar kerana tayar saya menggelongsor ketika perlumbaan dan saya cuba untuk mengekalkan tayar saya agar berada dalam keadaan baik.
“Sewaktu perlumbaan memasuki pusingan terakhir pula, saya tahu apa yang hendak saya lakukan,” katanya.
Qabil yang memulakan perlumbaan dari petak kedua, mempamerkan ketenangan dan fokus tinggi apabila berjaya mengatasi pencabar dari Bulgaria, Nikola Miroslavov, dalam perlumbaan sengit hingga ke garisan penamat.
Perlumbaan itu ternyata sengit apabila Qabil mencatat kemenangan dengan kelebihan hanya 0.006 saat dengan Miroslavov manakala pelumba di tempat ketiga, Alessio Arnold, hanya 0.014 saat di belakangnya.
Hasil kemenangan tersebut, pelumba kelahiran Terengganu itu yang mewakili Frando Racing VHC Team Liqui Moly kini mengumpul 95 mata keseluruhan dan berada dalam kedudukan terbaik untuk mencabar gelaran keseluruhan ESBK Talent 2025. -KOSMO! ONLINE