‘Prove them wrong, takluk pasaran lebih besar berbanding Indonesia’

8 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Filem paling laris Malaysia 2025, Blood Brothers: Bara Naga tidak mendapat kutipan memberangsangkan di Indonesia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bercadang untuk tidak lagi mengamalkan ‘dasar pintu terbuka’ menerima naskhah antarabangsa selepas ini.

Bukan itu sahaja, Pengerusinya, Datuk Hans Isaac, 54, berkata, pihaknya tidak lagi melihat Indonesia sebagai pasaran perfileman yang perlu ditakluki penggiat filem tempatan.

“Saya dapati, perkara ini sangat tidak adil bukan sebagai Pengerusi Finas tetapi seorang pembikin filem.

“Kita bukan ke semua pintu untuk datang dan ‘main’ di Malaysia. Malangnya, kita pergi ke negara lain, mereka buka pintu tapi halangannya dari segi proses, pemasaran atau sesuatu perihal ikut struktur mereka.

“Memang filem kita boleh masuk (negara luar contohnya Indonesia) tetapi mereka menyulitkan situasi. Di Malaysia, we make it very easy (prosesnya sangat mudah).

“Kalau negara luar, mereka buat susah untuk filem kita masuk, saya rasa syarat-syarat yang diletakkan, kita harus letak sebiji balik kepadanya,” katanya kepada Kosmo! Online dalam satu pertemuan di ibu negara semalam.

Tegas Hans atau nama lengkapnya, Gerald Hans Isaac, tiada kompromi untuk filem luar diberi muka sedangkan mereka tiada ihsan untuk filem Malaysia ‘bertapak’ di tanah mereka.

“Mereka nak main lima, kita main lima. Mereka nak sepuluh, kita sepuluh. First come first serve basis.

“Kita tak boleh nak ada slot untuk lock filem sesiapa. Macam senario Skim Wajib Tayanglah untuk filem luar selepas ini. Cumanya, nak laksanakan perkara ini, perlu proses, kertas kerja dan periksa semula banyak benda,” katanya.

Lima dibalas lima

Sehubungan itu, bagi menyemarakkan potensi filem tempatan di mata dunia, Finas akan mengumumkan projek besar-besaran sekitar Oktober atau September akan datang.

“Maksudnya, Finas akan jadi jambatan antara negara-negara. Kita akan bantu penerbit-penerbit filem untuk menembusi pasaran lebih besar berbanding Indonesia.

“Let’s put it that way (itu sahaja saya boleh kongsi sekarang). Blood Brothers gagal di Indonesia dari segi kutipan? Saya akan buktikan (penonton Indonesia) mereka salah.

“Finas akan bawa filem itu ke pasaran lebih besar. Bukan untuk pasaran Indonesia, tempat lain. Perkara ini sedang dalam perbincangan,” ujar Hans lagi.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan filem pecah panggung Malaysia, Blood Brothers yang mengutip RM76 juta hanya ditayangkan di 40 pawagam di Indonesia.

Pengarahnya, Syafiq Yusof juga memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2024 hingga kini kurang lima buah filem ditayangkan di sana sedangkan filem Indonesia mudah memasuki pasaran Malaysia dengan lebih 100 filem ditayangkan di sini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |