TANGKAK – Pakatan Harapan (PH) menolak dakwaan kononnya Johor dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan apabila negeri itu menerima peruntukan pembangunan lebih tinggi di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan rekod bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri mendapati Johor menerima peruntukan sebanyak RM14.6 bilion sejak Anwar mengambil alih pentadbiran negara pada November 2022.
Menurutnya, jumlah itu lebih tinggi berbanding RM10.2 bilion yang diterima negeri tersebut sebelum ini.
“Sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pada 25 November 2022, Johor menerima RM10.2 bilion.
“Bagaimanapun, rekod terkini yang saya semak petang tadi menunjukkan Johor menerima RM14.6 bilion di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Johor ke-16 di Bukit Gambir, di sini malam ini.
Beliau berkata, angka tersebut sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa Johor tidak menerima perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan.
Ujarnya lagi, negeri yang sering dianggap sebagai kubu kuat UMNO itu turut menerima jumlah peruntukan lebih rendah ketika negara ditadbir pemimpin daripada parti berkenaan.
“Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, Johor menerima RM10.2 bilion, manakala di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim jumlah itu meningkat kepada RM14.6 bilion.
“Kalau ada yang kata Johor tidak diberi perhatian, kita jawab dengan fakta dan angka. RM14.6 bilion itu jauh lebih besar berbanding RM10.2 bilion,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pembangunan di Johor terus dipacu menerusi pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurutnya, antara projek yang sedang giat dilaksanakan ialah Sistem Transit Rapid Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.
“RTS diumumkan sejak zaman Datuk Seri Najib Razak lagi, namun kini ia sedang dilaksanakan dan bakal menjadi penyelesaian kepada kesesakan di Kompleks Sultan Abu Bakar serta Bangunan Sultan Iskandar,” katanya.

1 day ago
8















































