PRN Johor: Jangan insiden ‘order barang lain, sampai barang lain’ berulang

11 hours ago 6

KULAI – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Ir. Hasni Mohammad berharap insiden ‘order barang lain, sampai barang lain’ melibatkan dirinya dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tidak berulang pada PRN akan datang.

Sebaliknya, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, pemilihan Onn Hafiz selaku ‘poster boy’ kali ini merupakan pilihan yang tepat dan telah terbukti sepanjang lebih empat tahun mentadbir negeri Johor.

“Apa yang penting janganlah lagi berlaku ‘order barang lain, sampai barang lain’. Kita belajar daripada pengalaman dan saya juga yakin perkara itu tidak akan berulang lagi.

“Jika Onn Hafiz menjadi ‘poster boy’, itu adalah pilihan tepat, beliau sedia maklum untuk memikul tanggungjawab tersebut dan apakah yang perlu dilakukan. Saya yakin beliau mampu menang lebih daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran AgTech City di Indahpura, di sini hari ini.

Tambah penyandang kerusi DUN Benut itu, Onn Hafiz juga telah menunjukkan sikap kepimpinan dan keyakinan tinggi untuk berdepan cabaran selepas mengumumkan Barisan Nasional (BN) negeri akan bertanding semua 56 kerusi DUN Johor.

“Saya dapat lihat Onn Hafiz selaku ketua BN dan sebagai ‘caretaker government’ menggalas beban yang ada di bahu beliau. Beliau telah tunjukkan kesediaan untuk hadapi apa juga cabaran. Kenyataan dibuat mencerminkan keyakinan beliau

“Jadi wajarlah kepimpinan di semua peringkat berikan sokongan sepenuhnya kerana kita ada seorang ketua yang penuh keyakinan untuk berdepan apa juga keadaan lebih lagi bila Johor hasrat tanding semua 56 kerusi DUN,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau bakal bertanding pada PRN Johor akan datang, beliau enggan mengulas sebaliknya membiarkan kepimpinan tertinggi membuat keputusan tersebut.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |