PAGOH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Ahmad Syarie Yusof yang mesra dengan panggilan Cikgu Syarie mengakui akan cuba meraih sokongan pengundi Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Beliau berkata, hubungan Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang dilihat tidak lagi sehaluan membuka ruang kepada BN untuk mendekati pengundi Pas di kawasan berkenaan.
“Kita melihat pertembungan antara Bersatu dan Pas, nampak ada peluang untuk kita di situ. Malah bilangan kerusi juga daripada Bersatu yang kita difahamkan ada 16, Pas 11.
“Kita cuba mendekati pengundi Pas dan harap ada yang positif kerana pengundi Pas di Bukit Kepong agak ramai. Itu juga kita akan gunakan sebagai ‘point’ untuk di negeri Johor. Kalau ada peluang apa salahnya, lagipun kita satu kawasan, memang kenal orang kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pejabat UMNO Bahagian Pagoh, di sini, hari ini.
Kata pesara guru itu lagi, beliau tidak melihat saingan berdepan penyandang kerusi itu yang meraih majoriti sekitar 710 undi pada PRN lalu sebagai tekanan, sebaliknya yakin kerusi berkenaan berpotensi untuk dirampas semula berdasarkan kerja lapangan di kawasan itu.
Katanya, tempoh perkhidmatan beliau sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Pagoh selama lebih tiga tahun yang melibatkan kerja turun padang bagi membantu penduduk serta menyelaras pelbagai program kerajaan negeri menjadi antara kelebihan utama kempen BN di kawasan itu.
“Tapi tak adalah mudah sangat. Isunya bila kita ini dah bekerja lebih tiga tahun, turun padang membantu penduduk serta menyelaras pelbagai program kerajaan negeri walaupun bukan wakil rakyat.
“Kalau kita lihat, dua penggal banyak perumahan atau cadangan perumahan yang kita laksanakan dulu tidak diteruskan. Bekas Menteri Besar pun katanya tidak diberi perhatian. Kita akan gunakan isu hasil atau kerja apa yang mereka buat sebagai naratif kita,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

10 hours ago
10

















































