JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor menggariskan sebanyak 63 tekad menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang berteraskan enam Teras Maju Johor bagi mengekalkan kestabilan serta meneruskan momentum pembangunan negeri.
Manifesto bertemakan “Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan” itu dilancarkan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan memberi penekanan terhadap aspek kebajikan rakyat, peluang pekerjaan, pendidikan, perumahan dan pembangunan ekonomi.
Menurut beliau, manifesto tersebut dirangka berdasarkan pengalaman mentadbir serta rekod pencapaian kerajaan negeri sepanjang tempoh empat tahun lalu.
Katanya, kepercayaan yang diberikan Bangsa Johor kepada BN sebelum ini telah membolehkan pelbagai agenda pembangunan serta inisiatif kebajikan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
“Empat tahun lalu, Bangsa Johor memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk memimpin negeri ini. Dalam tempoh itu, banyak yang telah kita usahakan dan capai bersama,” katanya.
Beliau berkata, berbekalkan pengalaman serta pencapaian yang direkodkan, BN Johor memperkenalkan manifesto yang menggariskan 63 tekad berteraskan enam Teras Maju Johor.
Enam teras tersebut merangkumi tadbir urus kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan dan keperluan asas, keselamatan serta kebersihan dan kelestarian alam sekitar selain pembangunan Orang Muda Johor.
Daripada keseluruhan tekad yang diumumkan, BN Johor turut mengetengahkan 11 inisiatif utama yang dijangka memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah sasaran mewujudkan sebanyak 200,000 peluang pekerjaan baharu dan berkualiti termasuk 100,000 pekerjaan berpendapatan premium untuk Anak Johor.
Peluang pekerjaan tersebut dijangka dijana menerusi kemasukan pelaburan berkualiti, pembangunan industri berteknologi tinggi serta peluasan sektor ekonomi strategik di seluruh negeri.
Selain itu, BN Johor turut menyediakan dana RM100 juta bagi membantu keluarga berpendapatan rendah membina Rumah Subsidi Johor di atas tanah sendiri termasuk lot generasi kedua FELDA.
Bagi membantu golongan muda memiliki tempat tinggal, gabungan itu turut menawarkan Skim Bayaran Deposit Sewaan Rumah Orang Muda Johor khusus bagi membantu mereka yang berdepan kesukaran menyediakan kos permulaan menyewa rumah.
Dalam usaha memperkasa usahawan dan peniaga kecil pula, BN Johor menawarkan pengecualian bayaran lesen perniagaan pada tahun pertama selain menambah dana pembiayaan mikro tanpa faedah sebanyak RM100 juta.
Manifesto tersebut turut memberi tumpuan kepada pendidikan menerusi pengukuhan Dana Pendidikan Orang Muda Johor dengan peruntukan RM100 juta selain meneruskan Insentif Mahasiswa Anak Johor sebanyak RM200 kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
Onn Hafiz berkata, setiap tekad yang digariskan bukan sekadar janji pilihan raya sebaliknya dibina berdasarkan pengalaman mentadbir, rekod pencapaian serta usaha untuk memastikan Johor terus maju, makmur dan sejahtera. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
6

















































