PRN Johor: Belum umum calon, DUN Bukit Kepong sudah ‘panas’

2 hours ago 3

PAGOH – Akar umbi Barisan Nasional (BN) di Pagoh terutamanya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  N07 Bukit Kepong menyatakan sokongan penuh terhadap calon pilihan mereka, Ahmad Syari’e Yusof bagi bertanding di kerusi tersebut.

Satu sumber memaklumkan, terdapat dakwaan calon yang akan diletakkan di kerusi berkenaan adalah merupakan individu yang ‘tidak sepatutnya’ atau berlatarbelakangkan calon ‘parti lain’.

“Ia sekali gus mengakibatkan akar umbi di kawasan tersebut sangsi dengan pemilihan tersebut. Calon pilihan akar umbi BN di kerusi itu tidak lain tidak bukan adalah Ahmad Syari’e atau mesra dipanggil Cikgu Syari’e.

“Semalam belia BN di DUN Bukit Kepong sudah menyatakan isi hati mereka agar Cikgu Syari’e ini menjadi calon BN. Ini berikutan mereka yakin dengan gerak kerja yang telah dilakukan oleh beliau sepanjang tiga tahun lalu di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Pada PRN Johor ke-15, DUN Bukit Kepong dimenangi oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal (9,873 undi) daripada Bersatu dengan majoriti 710, mengalahkan calon BN, Ismail Mohamed (9,163); calon Muda, Nurafiqah M. Zulkifli (8,975) dan calon Pejuang, Md. Taib Md. Suhut (162).

Sehubungan itu, hari ini akar umbi BN di Pagoh terutamanya di DUN Bukit Kepong telah menyatakan solidariti terhadap calon pilihan mereka dalam sebuah program di Pekan Lenga, di sini.

Program tersebut telah disertai, Pengarah War Room BN Pagoh, Syaipul Bahari Harun; Setiausaha Umno Bahagian Pagoh, Helmi Afendy Ismail, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pagoh, semua Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Kepong, semua Ketua Cawangan Umno Bukit Kepong, semua ketua-ketua kampung, ketua masyarakat Cina Lenga, Pengerusi-pengerusi Belia Daerah dan akar umbi kawasan berkenaan.

AKAR umbi BN bagi kawasan DUN Bukit Kepong hadir bersolidariti bagi calon pilihan mereka hari ini.

Menurut Syaipul Bahari, program tersebut diaturkan bagi menyatakan solidariti kepada calon pilihan UMNO Bukit Kepong kepada Cikgu Syari’e.

“Beliau telah tiga tahun menabur bakti di kawasan dengan bermacam-macam masalah dapat diselesaikan termasuk melibatkan isu dihadapi penduduk bangsa Cina, India dan Orang Asli.

“Malah perwatakan sederhana namun teliti dalam kerja dan urusan dengan masyarakat selain mesra dengan panggilan Cikgu Syari’e telah membuatkan beliau diterima di peringkat akar umbi dalam Bukit Kepong,” katanya.

Katanya, seluruh kepimpinan tempatan juga berharap agar pihak kepimpinan tertinggi BN terutamanya UMNO mendengar keluhan dan rintihan pengundi di Bukit Kepong.

“Ramai pengundi atas pagar dan juga daripada parti pembangkang telah menyatakan hasrat untuk memberi undi kepada BN jika calonnya, Cikgu Syari’e.

“Program ini juga menyatakan hasrat dan pendirian jika bukan Cikgu Syari’e (menjadi calon), maka seluruh PDM di N07 akan ditutup malah semua jentera BN akan meletakkan jawatan dan akan memboikot PRN Johor ke-16,” katanya.

Katanya, faktor calon tempatan yang berasal dari Lenga ini sangat-sangat diterima masyarakat tempatan selain asal-usul beliau daripada tokoh agama terkenal Johor iaitu Kiyai Haji Fadhil Abu Bakar al-Banten.

“Justeru, kami akar umbi di N07, Bukit Kepong sangat berharap agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menimbang semula untuk calon di kerusi ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |