Prestasi pentadbiran kerajaan mengukuh, diurus dengan baik

7 hours ago 4

PUTRAJAYA- Prestasi pentadbiran kerajaan dilihat terus mengukuh dan diurus dengan baik berdasarkan kepada beberapa pencapaian dicapai ketika ini antaranya melibatkan aspek ekonomi, pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) serta keupayaan penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan prestasi itu dapat dilihat menerusi data World Competitiveness Ranking 2025 dikeluarkan IMD minggu lalu.

“Malaysia kini berada di kedudukan ke-23 di dunia, melonjak 11 anak tangga ketimbang tangga ke-34 tahun lalu.

“Ini pencapaian terbaik sejak tahun 2020. Kita merupakan satu-satunya negara yang menunjukkan prestasi peningkatan lebih 10 anak tangga,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini tadi.

Pada masa sama, Anwar berkata, kecekapan perniagaan juga melonjak lapan anak tangga di mana ia bukan sahaja mempamerkan khidmat menerusi aspek dasar fiskal dan kewangan, tetapi menterjemahkan keupayaan penjawat awam.

“Jadi, maknanya tidak sia-sialah kita perkenalkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), maknanya itu galakkan untuk fikir soal bonus.

“Pertumbuhan KDNK untuk suku pertama 2025 juga kekal pada tahap 4.4 peratus dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kita masih dapat bertahan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun angka-angka itu dilihat memukau, tetapi ukuran kepada kejayaan itu perlu dirujuk kepada keselesaan rakyat.

“Sebab itu kita lihat bagaimana keadaan pengangguran, kadar itu kita lihat pada April lalu masih kekal pada 3 peratus, turun 3.9 peratus (April 2022), 3.5 peratus (April 2023) dan 3.3 peratus (April 2024),” katanya.

Kadar pengangguran terus menurun melalui penjanaan peluang pekerjaan baharu dan tahap tiga peratus pada April 2025 merupakan kadar pengangguran terendah sejak 10 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |