KUALA LUMPUR – Skuad hoki kebangsaan kempunan untuk melangkah ke separuh akhir pada Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara FIH meskipun menang 2-1 ke atas Jepun di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Speedy Tigers sekadar menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga susulan kurang satu jaringan berbanding pasukan tangga kedua, Pakistan yang memiliki sembilan gol selepas kedua-dua pasukan berkongsi empat mata.
Keputusan itu turut menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian tahun lalu di mana mereka turut gagal melangkah ke separuh akhir sebelum menjadi pasukan ketujuh terbaik menewaskan Austria 5-4.
Turun dengan misi wajib menang dengan perbezaan dua gol, Speedy Tigers bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Norsyafiq Sumantri yang menolak masuk hantaran Mohammad Fitri Saari.
Gol awal itu nyata membangkitkan semangat juang pemain-pemain negara yang kemudiannya terus melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan Jepun.

Usaha serta kerja keras dipamerkan anak-anak buah Sarjit Singh itu terus membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya menjadikan kedudukan 2-0 hasil jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang menerima umpanan Shello Silverius pada minit ke-26.
Bagaimanapun, momentum pasukan negara dilihat mula berkurang sebaik sahaja perlawanan memasuki suku masa ketiga sehingga membolehkan Jepun merapatkan kedudukan 1-2 hasil gol Koji Yamasaki pada minit ke-56.
Menjelang perlawanan seterusnya, Malaysia dijadualkan menentang Afrika Selatan bagi aksi klasifikasi tempat kelima hingga kelapan dengan kedudukan kelima menjadi sasaran terbaharu Speedy Tigers.
Sebagai rekod, pemenang Piala Negara-Negara FIH akan mendapat tiket beraksi dalam saingan Liga Profesional FIH yang sebelum ini dikenali sebagai Liga Hoki Dunia. – KOSMO! ONLINE