PGA serbu kedai vape berniaga depan sekolah

8 hours ago 5

TUMPAT – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis rokok elektronik atau vape bernilai RM182,000 dalam serbuan di sebuah premis yang berniaga tanpa lesen di depan sebuah sekolah di Kampung Kelaboran di sini semalam.

Serbuan dijalankan kira-kira pukul 1.45 tengah hari oleh anggota Batalion 9 PGA dan beberapa orang pegawai Majlis Daerah Tumpat (MDT).

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya menjalankan serbuan di premis itu semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan tersebut.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 31 tahun berada di dalam kedai tersebut semasa pemeriksaan dijalankan.

“Lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen dan lesen yang sah daripada pihak MDT berkaitan perniagaan rokok elektronik.

“Pemeriksaan di dalam premis itu membawa kepada rampasan sebanyak 1,380 unit cecair termasuk peranti vape, cecair vape (27 tin), cecair vape (63 peket) dan peranti vape (529 unit),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, rampasan keseluruhan barangan tersebut dianggarkan bernilai RM182,000.

Menurutnya, kesemua hasil rampasan diserahkan kepada MDT untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(5)(c) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDT 2019.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah meluluskan sebarang lesen perniagaan kepada premis penjualan rokok elektronik atau vape.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, tindakan rondaan dan penguatkuasaan oleh PBT sentiasa dijalankan bagi membanteras aktiviti penjualan dan pengiklanan vape di Kelantan.

“Selain itu, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) jelas mengawal dengan lebih ketat kegiatan penjualan, pengiklanan dan tempat merokok semua jenis produk termasuk vape,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |