GEORGE TOWN – Kejadian sebuah pesawat syarikat penerbangan, ‘Harimau Kumbang Air’ yang terhempas sebelum terbakar di Lapangan Terbang Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari merupakan ‘insiden’ simulasi khas kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Nahas pesawat jenis Boeing 738 yang membawa 134 penumpang itu menyaksikan lima penumpang ‘terkorban’ manakala selebihnya termasuk dua juruterbang dan empat kru kabin ‘terselamat’.
Latihan kecemasan berskala penuh yang dinamakan ‘EX Harimau Kumbang’ itu menunjukkan pesawat mengalami kebakaran enjin dan kegagalan sistem hidraulik akibat dilanggar burung, sehingga terpaksa melakukan pendaratan kecemasan secara belly landing.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Nermaljit Singh berkata, antara agensi utama yang terlibat dalam latihan itu termasuklah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta rakan-rakan syarikat penerbangan.
“Secara keseluruhannya seramai 550 anggota daripada 28 agensi terlibat secara langsung dalam menjayakan latihan ini.
“Latihan ini bertujuan menguji pelan tindakan kecemasan serta meningkatkan koordinasi antara semua pihak sekiranya berlaku kejadian sebenar seperti insiden yang pernah berlaku di luar negara baru-baru ini,” katanya dalam sidang akhbar di LTAPP di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, latihan itu dilaksanakan mengikut sepenuhnya piawaian dan peraturan penerbangan antarabangsa dan kebangsaan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Dalam pada itu, katanya, bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial, PDRM turut menasihatkan pihak penganjur agar memaklumkan lebih awal kepada orang awam mengenai latihan ini menggunakan saluran rasmi.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Operasi AFRS PIA, Noor Azirul Hafiz Maamor berkata, pihak PIA telah memaklumkan kepada semua syarikat penerbangan berhubung latihan yang dijalankan hari ini supaya perancangan awal dapat diambil oleh mereka. – KOSMO! ONLINE