SHAH ALAM – Penyanyi sensasi Bella Astillah mengakui belum sempat untuk memikirkan tentang persiapan perkahwinannya dan hanya akan mula melakukan persiapan selepas 30 Jun apabila keputusan kes mahkamah melibatkan tunangnya, iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq diketahui kelak.
Mahkamah menetapkan 30 Jun depan hari penentuan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, daripada tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.
“Persiapan kahwin? Tunggu selepas 30 hari bulan nanti baru saya fikirkan. Sekarang ini kami lebih fokus tentang keputusan rayuan pembebasan Syed Saddiq. Jadi sama-sama kita doakan.
“Kita fokus mana yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Biarlah semua kes mahkamah berakhir dulu baru kita fikirkan tentang persiapan perkahwinan.
“Saya percaya ramai orang di luar sana yang mendoakan. Doa-doa kalian itu jauh lebih penting,” katanya ketika ditemui pada konsert Bintang Universe : The Dimension yang berlangsung di UiTM Shah Alam, semalam.
Bella juga menyangkal dakwaan kononnya dia bakal melangsungkan perkahwinan pada tarikh 26 Jun 2026.
“Tiada istilah nak kahwin ikut tarikh yang cantik. Seperti saya katakan, kita semua menunggu kes mahkamah YB Syed Saddiq selesai dulu,” jelasnya.
Terdahulu pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas serta membebaskan Syed Saddiq, selepas membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Untuk rekod, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac 2026. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
6












![[VIDEO] Empat maut kereta dihempap treler terbabas di Bukit Tinggi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-14-at-20.21.10.jpeg)































