KUALA LUMPUR – Bakal bergabung sebagai Nada Murni selepas tiga dekad berpecah, Rabbani menegaskan konsert pada Disember ini bersama Hijjaz serta bekas anggota lain tiada kena-mengena dengan pertubuhan Al-Arqam yang pernah memayungi mereka.
Kata ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abd. Aziz, selepas pertubuhan itu diharamkan pada 1994, mereka yang sebelum itu hanya terbabit dengan persembahan serta rakaman lagu bergerak bebas dan membina legasi sendiri.
“Kami memang bekas pelajar Al-Arqam tetapi tak terlibat dengan aktiviti pertubuhan itu dan apabila Arqam diharamkan pun, kami tidak bersamanya lagi, sebaliknya membina nama masing-masing iaitu Rabbani dan Hijjaz.
“Perpecahan Nada Murni berlaku sejurus selepas Al-Arqam diharamkan, namun kami menubuhkan kumpulan berbeza bukan kerana konflik dalaman, sebaliknya lebih kepada perubahan struktur.
“Sejak itu kami semua tidak lagi terlibat dengan mana-mana jemaah atau aktiviti susulan, bahkan ramai yang maklum perkara ini, sekali gus Konsert Legenda Nada Murni menjadi reunion yang sangat bermakna,” katanya ketika pengumuman konsert di sini, hari ini.
Ujar Azadan lagi, makluman itu penting bagi mengelakkan sebarang keraguan walaupun ramai penggemar nasyid sudah kontemporari mengetahui pendirian mereka berhubung perkara tersebut.
Malah secara tidak langsung, jenama yang dibina kedua-dua kumpulan terbabit selaku teras asal Nada Murni membuktikan kemampuan mereka berdiri di kaki sendiri serta membina identiti unik yang diterima pendengar sehingga ke hari ini.
“Selepas berdekad, persepsi masyarakat juga berubah apabila peminat lebih mengenali kami sebagai nama yang sinonim dengan lagu-lagu nasyid malar segar.
“Kami tak gentar atau bimbang konsert ini akan dibayangi sejarah lampau bersandarkan fakta bahawa masyarakat hari ini sudah tidak lagi skeptikal dan mampu menilai karya mereka secara profesional,” kongsinya.
Mengenai Konsert Legenda Nada Murni yang akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 7 Disember ini, akui Azadan persembahan itu nanti menjanjikan sebuah perjalanan merentas masa dengan dimulakan segmen imbauan era awal Nada Murni iaitu hanya menggunakan vokal secara acapella tanpa iringan muzik.
“Konsert ini turut menggabungkan sekitar 30 hingga 40 buah lagu hits bermula daripada lagu ketuhanan, keinsafan, perjuangan, sehinggalah kepada karya nasihat menyentuh jiwa, seperti Di Pondok Kecil yang pernah membuatkan penonton menitiskan air mata,” katanya.
Tiket bagi konsert anjuran Karri Talk Production dan Westzone Entertainment yang bermula pada harga RM128 boleh ditempah menerusi Ilasso Tickets bermula pada 26 September ini. – KOSMO! ONLINE