Pernah hutang yuran pengajian RM18,000, kini Saundarya bergelar doktor

4 hours ago 2

GEORGE TOWN – “Apabila jumpa pesakit daripada golongan susah, ingat kembali bilik sewa kecil tempat belajar, roti dan mi segera yang menjadi teman malam.”

Demikian nasihat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menerusi Facebooknya kepada seorang penuntut bidang perubatan di sebuah universiti awam, K. Saundarya, 28 yang pernah memohon bantuan melangsaikan tunggakan yuran pengajian sebanyak RM18,000, tahun lalu.

Menurut Steven, berkat kesabaran dan kesungguhan selama tempoh lima tahun untuk bergelar seorang doktor, kini anak kepada seorang pemandu lori itu berjaya mencapai cita-cita tersebut.

“Saya masih ingat waktu saya terima surat daripada Saundarya. Dia sangat terdesak perlu bantuan untuk langsaikan yuran pengajian.

“Masa hanya tinggal beberapa hari, jika tak bayar, mungkin tak dapat menduduki peperiksaan semester akhir. Tapi hutang puluhan ribu ringgit memang amat berat sekali.

“Ketika saya melawat rumah mereka untuk membayar hutang yuran pengajian itu tahun lalu, ayahnya berkata dia seorang pemandu lori tapi dia nak supaya anaknya berjaya dalam hidup. Lima tahun bekerja keras bermandi keringat dan air mata, hari ini Saundarya akhirnya bergelar doktor,” katanya di sini, hari ini.

Steven merangkap Menteri Sumber Manusia memberitahu lagi, beliau amat berbangga apabila dijemput oleh keluarga Dr. Saundarya menghadiri ke majlis konvokesyen anak mereka.

K. Saundarya bersama kedua ibu dan bapanya ketika menghadiri majlis konvokesyen di sebuah universiti awam.

“Dia bukan sahaja lulus pengajian malah telah dapat pingat pelajar cemerlang, tiga kali dapat Anugerah Dekan.

“Saya beritahu kepadanya, saya tak mengharapkan apa-apa balasan tetapi Dr. Saundarya kena ingat jasa ibu ayah sampai bila-bila dan apabila memakai kot putih nanti, harus sentiasa cuba sedaya upaya untuk bantu orang-orang yang memerlukan.

“Rawat mereka bukan sekadar dengan ilmu tapi dengan hati. Dr. Saundarya akan mula bertugas di salah sebuah hospital di Pulau Pinang minggu depan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |