JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kosmetik dalam talian kecewa setelah imej dan perniagaan yang dijalankan terkesan gara-gara dikatakan mempunyai abang yang berhutang dengan along.
Lebih menyedihkan, Goh Jia Hui, 35, berkata, dia yang hanya mempunyai tiga adik lelaki terkejut apabila diganggu oleh pengguna media sosial dipercayai mempunyai kaitan dengan along.
Katanya, individu tersebut memuat naik hantaran mengenai seorang lelaki yang dikatakan abang kepada dirinya sebelum diminta untuk menjelaskan hutang lelaki berkenaan.
“Saya sudah menjalankan perniagaan dalam talian lebih 10 tahun, apabila timbul masalah begini, ia menjejaskan imej dan perniagaan saya. Ramai pembeli tanya betulkah ‘abang’ saya berhutang dengan along.
“Saya tidak kenal lelaki dalam gambar yang dimuat naik di Facebook saya itu. Pihak yang memuat naik hantaran itu mendakwa itu abang kandung saya kerana nama keluarga kami sama sedangkan saya tidak ada abang,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor, di sini hari ini.
Jia Hui berkata, dia berada di Korea Selatan atas tujuan perniagaan ketika hantaran itu dimuat naik oleh individu terbabit pada 11 Jun lalu.
“Saya terpaksa lupakan soal perniagaan saya dan terus kembali ke Malaysia. Ia sedikit sebanyak mengganggu dan saya agak tertekan.
“Saya juga bimbang jika mereka akan ganggu ibu saya yang sudah berusia dan anak saya yang masih muda,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Dato Onn, di sini, Khamis lalu.
Ketua Biro Aduan Awam Bersatu Johor, Lim Thow Siang berkata, masalah dihadapi wanita itu merupakan antara taktik terbaharu dilakukan ‘scammer’ dalam mencari mangsa.
“Mungkin mereka cuba sahaja ‘attack’ mana-mana pemilik akaun, jika ada yang takut mungkin akan beri mereka duit,” dakwanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis dibuat wanita berkenaan.
Katanya, kes telah diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut.-KOSMO! ONLINE