Percepat pembaharuan Strategi RESET tangani kenaikan premium insurans, caj hospital swasta

8 hours ago 6

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) akan mempercepat pelaksanaan pembaharuan di bawah Strategi RESET termasuk melaksanakan projek rintis pelan asas Malaysia Health Insurance and Takaful (MHIT) menjelang akhir Julai bagi menangani kenaikan premium insurans dan caj hospital swasta.

Kementerian Kewangan berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengambil maklum laporan dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung usaha menangani kenaikan premium insurans dan caj hospital swasta.

Katanya, JBMKKS turut mengiktiraf kepentingan isu-isu ini terhadap kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara secara keseluruhan.

“Cadangan yang dikemukakan oleh PAC secara umumnya selaras dengan hala tuju Strategi RESET serta mengukuhkan keperluan untuk mempercepat pelaksanaan agenda pembaharuan.

“Sehubungan itu, JBMKKS akan meneliti setiap syor yang dikemukakan dan memberikan pertimbangan sewajarnya dalam memperkukuh serta mempercepat pelaksanaan pembaharuan yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Sejak pelancaran Strategi RESET, JBMKKS telah menerajui usaha yang terselaras merentas Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara serta pelbagai pihak berkepentingan utama dalam ekosistem penjagaan kesihatan dan insurans.

Kementerian Kewangan berkata, pendekatan ini memberi tumpuan kepada usaha menangani faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan, termasuk pendorong jangka pendek dan faktor struktur yang mencetuskan inflasi kos perubatan.

“Kemajuan memberangsangkan telah dicapai dalam pelaksanaan inisiatif pembaharuan di bawah Strategi RESET.

“Antaranya ialah pelan asas MHIT yang dijangka memasuki fasa pelaksanaan rintis menjelang akhir Julai.

“Selain itu, beberapa inisiatif utama turut dilaksanakan secara berperingkat termasuk penggunaan sistem Diagnosis-Related Group (DRG) sebagai mekanisme pembayaran kepada penyedia perkhidmatan kesihatan, peningkatan ketelusan harga dan faktor pendorong inflasi perubatan selain pengukuhan standard data, serta penambahbaikan mekanisme penyelesaian pertikaian.

“Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen dan kerjasama erat antara pembuat dasar, pengawal selia, pembayar serta penyedia perkhidmatan kesihatan dalam menjayakan reformasi sektor penjagaan kesihatan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |