Penyakit Ebola: KKM perkukuh kesiapsiagaan, pantau risiko

17 hours ago 9

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh langkah kesiapsiagaan dan pemantauan bagi memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam menghadapi risiko penyakit Ebola virus Bundibugyo.

KKM menerusi kenyataannya memaklumkan, sehingga kini tiada kes Ebola dilaporkan di Malaysia, namun pihak kementerian mengambil kira risiko importasi kes melalui perjalanan antarabangsa,

Menurutnya, penyakit Ebola disebabkan oleh virus Bundibugyo telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa pada 17 Mei lalu berikutan kejadian wabak tersebut di Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda.

“KKM memantau pengembara yang memasuki Malaysia dari Uganda dan DRC, termasuk mereka yang melalui penerbangan transit di hab antarabangsa seperti Dubai, Doha, dan Singapura.

“Buat masa ini, tiada penerbangan terus dari kedua-dua negara tersebut ke Malaysia. Pemantauan dan saringan terus diperkukuh bagi tujuan penilaian risiko kesihatan awam serta pelaksanaan langkah pencegahan awal,” kata KKM semalam.

Terdahulu, sehingga 16 Mei, WHO melaporkan sebanyak lapan kes disahkan makmal, 246 kes disyaki dan 80 kematian disyaki telah dilaporkan di Wilayah Ituri, DRC.

Selain itu, sebanyak dua kes disahkan makmal termasuk satu kematian turut dilaporkan di Kampala, Uganda melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari DRC.

Menurut KKM, bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara, pelbagai langkah telah dan sedang dilaksanakan termasuk memperkukuh survelan di semua pintu masuk antarabangsa, meningkatkan pengesanan awal kes serta kesiapsiagaan fasiliti kesihatan untuk pengasingan dan pengurusan kes disyaki.

Selain itu, kesiapsiagaan alat perlindungan diri dan latihan petugas kesihatan turut dipastikan berada pada tahap optimum di samping memperkasakan kapasiti diagnostik makmal menerusi kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan.

“KKM turut memperkukuh koordinasi dan pemantauan risiko global bersama WHO, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, syarikat penerbangan serta agensi berkaitan.

“Individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terbabit dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit badan, muntah atau pendarahan dalam tempoh 21 hari selepas pulang dari negara berkenaan,” menurut kenyataan itu.

KKM menyeru orang ramai juga untuk sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumberrasmi KKM dan WHO serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Ebola merupakan penyakit berjangkit serius yang boleh membawa maut dengan penularannya berlaku melalui kontak rapat dengan darah atau cecair badan individu atau haiwan yang dijangkiti.

Antara gejala penyakit termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, muntah, cirit-birit, manakala dalam sesetengah kes, pendarahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |