KAJANG – Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, 49, meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, di sini selepas mengadu sakit dan sukar bernafas kira-kira pukul 3 petang tadi.
Pemergian Raja Nurfatimah yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang kewartawan dan cukup dikenali dalam kalangan pengamal industri seni, mengejutkan keluarga dan kenalan.
Ketika ini, jenazah Allahyarham Raja Nurfatimah sedang dibawa ke Hospital Kajang, bagi menjalani postmortem.
Difahamkan, jenazah Allahyaham Raja Nurfatimah akan dibawa ke kampung halaman di Kuala Terengganu, Terengganu untuk dikebumikan.
Pembantu rumahnya, Khusnul Khotimah, 23, memberitahu, arwah sudah dua minggu mengadu sakit-sakit badan dan sering meminta ditemani kerana takut tinggal sendirian.
“Arwah sudah dua minggu dalam keadaan kurang sihat, cuma hari ini keadaannya nampak lebih teruk. Pagi tadi, dia ada cakap sakit badan dan minta saya untuk urutkan.
“Kemudian, pada pukul 1 tengahari tadi saya ada suapkan arwah air, tetapi arwah seolah-olah tidak dapat menelannya dan memuntahkan kembali. Selepas itu, keadaan kesihatannya semakin merosot.
“Saya agak panik dan keluar rumah untuk mendapatkan bantuan. Saya maklumkan kepada pengawal keselamatan sebelum ada jiran datang untuk membantu,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah di sini, hari ini.
Raja Nurfatimah memulakan karier sebagai wartawan sambilan BH di Biro BH Kuala Terengganu pada usia 18 tahun, sebelum ditawarkan jawatan wartawan Harian Metro (HM).
Sepanjang karier, Allahyarham Raja Mawar bertugas di beberapa unit termasuk berita, jenayah dan hiburan di HM dan BH.
Cukup dikenali sebagai wartawan hiburan, Allahyarham Raja Mawar menghasilkan banyak artikel menarik termasuk berita eksklusif seperti penderitaan penyanyi veteran, Sahara Yaacob yang hidup menumpang di stor dan pelbagai pendedahan lain.
Allahyarham Raja Mawar juga mempunyai rapat dengan artis ternama Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan banyak menulis mengenai Biduanita Negara itu. Arwah juga rapat dengan bintang veteran, Noorkumalasari dan keluarga Datuk Yusof Haslam.
Allahyarham Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, pernah meraih Anugerah Penulis Pojok Terbaik di Anugerah Kecemerlangan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) pada 2017. Anugerah itu dimenanginya menerusi artikel bertajuk Beginikah Perilaku Penggiat Seni dalam ruangan Desas Desus, akhbar BH. – KOSMO! ONLINE