Pengelasan B40, M40, T20 kekal, kaedah baharu masih dikaji

15 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih meneliti kaedah terbaik untuk melaksanakan pengelasan sosioekonomi baharu bagi menggantikan kategori B40, M40 dan T20, termasuk penggunaan pendekatan Pendapatan Boleh Guna Bersih (Net Disposable Income atau NDI).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kajian semula itu sedang dilaksanakan di bawah agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 bagi mewujudkan kaedah penentuan kumpulan sasar yang lebih inklusif dan saksama.

Menurutnya, pendekatan baharu itu bertujuan melengkapkan pengelasan sedia ada yang hanya berasaskan pendapatan kasar, kerana ia tidak menggambarkan beban kewangan sebenar isi rumah.

“Perbezaan lokaliti, demografi, corak perbelanjaan isi rumah serta kos sara hidup perlu diambil kira dalam menentukan kumpulan sasar.

“Sehubungan itu, kerajaan sedang meneliti kaedah pengukuran yang lebih dinamik termasuk penggunaan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI),” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta kerajaan menyatakan bilakah pengelasan sosioekonomi baharu bagi menggantikan kategori B40, M40 dan T20 akan dilaksanakan.

Menurutnya, pendekatan NDI mengambil kira pendapatan kasar isi rumah selepas ditolak potongan berkanun seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), cukai pendapatan dan zakat.

Selain itu, katanya, kaedah berkenaan turut mengambil kira Kos Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) berdasarkan lokaliti, demografi, corak perbelanjaan isi rumah serta harga barangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, pada masa ini had kelayakan umum bagi bantuan sosial dan kemiskinan masih berpandukan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional terkini iaitu RM2,705 pada 2024, manakala pengelasan B40, M40 dan T20 kekal digunakan sebagai rujukan bagi analisis statistik serta pelaksanaan bantuan sosial.

Mengulas mengenai tempoh pelaksanaan, beliau berkata, kajian semula pengelasan pendapatan itu memerlukan penelitian lanjut serta ketersediaan data isi rumah yang lengkap bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |