KUALA SELANGOR – Penempatan haram di Selangor yang tiada kebenaran daripada pihak berkuasa perlu dirobohkan mengikut lunas undang-undang sedia ada.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu seharusnya ditangani sebaik mungkin kerana isu berkenaan bukannya perkara baharu.
Tegas beliau, penempatan haram tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Pejabat Daerah dan Tanah (PDT)
sememangnya perlu dirobohkan.
“Berdasarkan rekod, berapa tindakan dibuat (seperti) amaran dan notis. Kalau lihat kepada isu tanah biasanya ia melibatkan penggunaan tanah di luar kapasiti ataupun syarat nyatanya.
“Itu banyaknya seperti kawasan pembuangan sampah haram yang kita pernah urus dalam bidang kuasa negeri. Sebelum rampasan dibuat, kita kena beri masa secukupnya kepada pemilik untuk memulihkan tanah itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan isu flat empat tingkat yang pernah menjadi penempatan etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri bagi tindakan lanjut.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, bangunan itu tidak berada di bawah pengurusan strata yang juga di luar bidang kuasa kementeriannya.
Mengulas lanjut, kata Amirudin, pihaknya diberi jaminan oleh Pegawai Daerah Hulu Langat untuk mengambil tindakan perobohan akan diambil serta rampasan tanah dilakukan jika perlu.
“Isunya adalah perbandaran dan syarat guna tanah yang perlu diuruskan. Namun, saya sudah mendapat jaminan bahawa tindakan segera akan dibuat untuk merobohkannya.
“Bagi urusan rampasan tanah, ia tidak mudah sebab hak milik dan mereka bayar premium. Jadi, kita kena beri ruang, ada setengah kes kita kena dibawa ke dalam mahkamah sebab itu prosedur,” katanya. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
6














































