Penduduk ketakutan pak belang baham ternakan

11 hours ago 4

KULIM – Penduduk di Kampung Ulu Dingin di Mahang di sini, di­selubungi kebimbangan apabila empat ekor lembu mati akibat dibaham harimau sejak awal tahun ini.

Penduduk kampung itu, Muha­mad Khairul Azlan Che Hamid, 37, berkata, dua ekor lembu miliknya menjadi mangsa pada 17 Mac dan Khamis lalu.

“Dalam kejadian terbaharu, rakan memaklumkan menemui bangkai lembu berhampiran ladang kelapa sawit kira-kira 500 meter dari rumah saya.

“Saya terkejut menemui bangkai lembu betina yang bunting mengalami kecederaan teruk pada bahagian belakang, ia kelihatan seperti diserang harimau belang,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian, dia yang dalam perjalanan untuk menghantar isterinya ke tempat kerja mendapati masih ada kira-kira 70 ekor lembu miliknya di kawasan berhampiran ladang kelapa sawit kira-kira pukul 5 pagi.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, saya sudah tidak nampak lembu-lembu itu, ingatkan pergi mencari makanan di tempat lain. Rupanya larikan diri akibat serangan haiwan liar,” ujarnya.

Menurutnya, kedudukan rumahnya yang terletak berhampiran kawasan hutan Gunung Inas dipercayai menjadi antara faktor haiwan liar datang mencari makanan.

Dia pernah ternampak kelibat dipercayai harimau kira-kira tujuh tahun lalu di kawasan berhampiran rumahnya dan berharap pihak Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin.

Penghulu Mukim Mahang, Naim Zamhuri berkata, terdapat kira-kira 15 penduduk yang tinggal di kawasan kampung berhampiran hutan Gunung Inas dan Gunung Bintang.

“Kejadian serangan harimau ada berlaku sebelum ini tetapi tidak melibatkan jumlah yang banyak dan tidak dilaporkan penduduk.

“Tahun ini tiga serangan harimau dilaporkan di Kampung Ulu Dingin iaitu pada Januari lalu melibatkan dua ekor lembu serta Mac dan 12 Jun lalu masing-ma­sing seekor lembu,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |