TANGGAL 21 Ogos 2023 menjadi detik penuh beremosi, terutama peminat setia, apabila aktor kesayangan mereka, Hairul Azreen mengumumkan keputusan mengundur diri dari dunia seni.
Keputusan tersebut diambil demi memberi komitmen sepenuhnya terhadap keluarga tercinta serta empayar perniagaan yang sedang dibina.
Meskipun sudah hampir tiga tahun berlalu, ramai masih merindui kelibat Hairul di layar perak, terutama ketika genre aksi tempatan kini dilihat kembali rancak.
Bagi pemilik nama lengkap Hairul Azreen Idris, 38, pintu hatinya untuknya kembali mewarnai dunia lakonan sudah tertutup rapat.
Dia bahkan mengakui fasa hidupnya kini berada dalam keadaan yang sangat bahagia.
“Tak (akan buat kemunculan semula), sekarang saya tengah gembira dan bersyukur dengan apa saya buat.
“Apa saya nampak orang sekarang semua buat filem aksi. Paling seronok apa yang saya tinggalkan iaitu kena buat latihan (bina badan) sebelum penggambaran, mereka mula faham dan lakukan.
“Dahulu masa saya buat orang kata kenapa nak beria-ia dan penatkan badan padahal pelakon saja. Tapi bila buat latihan dan hasilnya lagi bagus saya rasa,” katanya kepada HibGlam pada majlis ulang tahun ke-10 jenama Cakenis, baru-baru ini.
Mengimbas kembali era kegemilangannya, bintang filem Malbatt: Misi Bakara itu tidak menafikan pernah dilabel sebagai terlalu ‘beria-ia’ hanya kerana meletakkan standard yang tinggi dalam setiap naskhah aksi yang dijayakan.
“Dahulu bagi orang kenapa nak bersungguh buat latihan. Saya ada tanda pagar #HairulTrainingForFilem sebab saya ada matlamat dan sasaran.
“Saya nak bawa industri kita pergi jauh tapi orang tak faham. Orang rasa beria-ia,” katanya lagi.
Pada masa sama, Hairul mengakui perkara tersebut dilakukan kerana mahu menaikkan industri perfileman tempatan ke peringkat lebih jauh.
“Sebab itu dahulu masa dalam industri saya nak buat orang nampak filem Malaysia sebagai genre aksi yang dipandang tinggi.
“Menerusi Wira dan Paskal, saya dapat bawa benda itu jauh dan sampai hari ini juga orang masih lagi bercerita tentang filem tersebut.
“Jadi saya rasa sudah letakkan satu kenangan yang seronok di situ. Budak-budak sekarang pun ‘training’ untuk filem,” jelasnya.
Sukan Hyrox
Menariknya, sifat disiplin dan ketaksuban suami kepada pelakon Hanis Zalikha itu terhadap sasaran fizikal kini dialihkan sepenuhnya kepada sukan kecergasan berintensiti tinggi, Hyrox.
“Sama juga macam Hyrox. Saya nak target dapat sub 65 minit sampai saya tulis di atas kertas dan tampal dalam tandas.
“Itu memang perangai saya tapi kalau orang tengok mesti cakap saya beria-ia. Alhamdulillah saya dapat masa yang bagus untuk Hyrox,” tuturnya yang menyelesaikan sukan tersebut di Barcelona baru-baru ini.
Berkongsi mengenai Hyrox, hasratnya untuk beraksi dalam perlumbaan tersebut bersama isteri terpaksa dibatalkan pada saat akhir atas faktor penerbangan dibatalkan.
“Sepatutnya Hyrox pertama saya bersama ‘teman wanita’ (isteri) saya di Poland tapi penerbangan kami dibatalkan.
“Tak ada rezeki nak buat sebab krisis sebelum ini, mungkin sebab peperangan,” jelasnya.
Tambah bapa kepada dua orang cahaya mata itu, kepuasan sebenar menyertai sukan ekstrem tersebut adalah apabila dapat mencabar had keupayaan fizikal diri yang pernah terjejas akibat kecederaan lama.
“Kepuasan adalah bila kita tahu apa yang kita boleh buat atau tak boleh buat.
“Saya sendiri sebenarnya tak yakin boleh buat atau tidak sebab ACL kiri dan kanan saya dah putus.
“Jadi, saya tak tahu sama ada saya mampu habiskan atau tidak. Namun, bila saya berjaya buat, saya rasa gembira, alhamdulillah,” tutupnya.

12 hours ago
8







![[VIDEO] ‘Kejadian sekelip mata, saya dilambung dua kali’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-29-at-2.14.05-PM.jpeg)





































